Berita | KKM kesan individu positif COVID-19 daftar masuk premis, pasar raya

ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 523 kali daftar masuk ke premis, termasuk pasar raya, membabitkan individu positif COVID-19 yang diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di Kedah, sepanjang tempoh minggu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata jumlah daftar masuk berkenaan dikesan melalui aplikasi MySejahtera digunakan individu terbabit.

“Saya memaklumkan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa berlaku 523 kali daftar masuk yang dikesan melalui aplikasi MySejahtera, dalam tempoh seminggu.

“Jumlah 523 ini bukan individu, tetapi bilangan daftar masuk. Individu terbabit sepatutnya menjalani kuarantin dan berada di rumah tetapi mereka dikesan keluar ke premis. Malah, 18 peratus daripadanya didapati adalah daftar masuk di pasar raya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Muhammad Sanusi menghadiri Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di Wisma Darul Aman.

Susulan itu, Khairy Jamaluddin meminta semua pemilik dan petugas di lokasi tumpuan agar sentiasa melakukan pengawasan ketat di pintu masuk premis masing-masing bagi menghalang individu bawah HSO daripada masuk.

“Nama individu bawah HSO tetapi keluar itu akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan Kedah untuk tindakan lanjut kerana mereka sepatutnya tidak boleh keluar.

“Pada masa sama, saya berharap Kedah dapat meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini berikutan terdapat 17 peratus penduduk dewasa didapati belum menerima suntikan dos pertama, dengan perhatian ialah daerah Baling dan Pendang yang terkebelakang dalam vaksinasi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kebanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara semakin lengang dan tidak seramai seperti sebelum ini, berikutan hampir 80 peratus populasi dewasa berkelayakan sudah menerima suntikan vaksin masing-masing.

Katanya, keadaan itu menyebabkan jumlah vaksin dibekalkan kepada PPV berkenaan adalah melebihi bilangan penerima yang hadir. – BH ONLINE

oleh Norazura Abdul Rahman

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: