Berita | Pelan strategik atasi kekurangan sumber buluh negara – Zuraida
PUTRAJAYA, 20 SEP : Kerajaan sedang mengambil pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah kekurangan sumber bahan mentah buluh negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, antaranya melalui pelancaran Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 hari ini..
Pelan tersebut, katanya, terdiri dari lima teras strategik iaitu pengukuhan dasar dan perluasan sumber; peningkatan modal insan, kepakaran dan kapasiti; pengukuhan inovasi, teknologi dan ‘research, development and commercialisation’ (R&D&C); pemerkasaan rantaian dan jaminan kualiti; dan pengukuhan strategi pemasaran dan perkongsian pintar.
“Pelan ini merupakan kesinambungan dari yang terdahulu dan ia perlu dilaksanakan bagi membangun dan memajukan lagi industri buluh di Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Buluh Dunia sebentar tadi.
Selain usaha berkenaan, Zuraida berkata, kemudahan pinjaman mudah juga disediakan bagi pengusaha industri buluh di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PLLH).
Ia bagi memastikan negara mempunyai bekalan sumber bahan mentah buluh yang berterusan, jelasnya. – PPI