Berita | Tumpu kepada dasar pelaburan, kestabilan politik, kata tokoh perniagaan
PETALING JAYA: Malaysia harus lebih tegas dalam dasarnya dan meningkatkan kestabilan politik untuk menarik pelaburan yang dapat memacu pertumbuhan dan pemulihan ekonomi, menurut Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siobhan Das berkata, walaupun Malaysia tetap menjadi destinasi pelaburan yang menarik terutamanya bagi pelaburan dari Amerika Syarikat, negara ini perlu tegas untuk menarik pelaburan bernilai tambah.
“Ini termasuk isu kelestarian alam sekitar dan (tenaga) buruh serta pelaksanaan undang-undang mempromosikan perdagangan dan perkhidmatan digital,” katanya pada mesyuarat rundingan dengan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) Malaysia.
Mesyuarat berkenaan diadakan untuk membincangkan usaha negara dalam menarik pelaburan langsung asing dari Amerika Syarikat dan komuniti perniagaannya.
Ahli Asean-BAC, Raja Singham berkata, negara ini memerlukan tenaga kerja digital yang lebih kukuh jika ingin mengembangkan industri digitalnya.
Tambahnya, tenaga kerja negara dapat berkembang jika diberi persekitaran, platform dan latihan yang tepat.
Mesyuarat itu juga menyentuh isu kestabilan politik, dialog berterusan antara sektor awam dan swasta serta ratifikasi perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Pengerusi Royal Selangor Yong Poh Kon yang juga ahli Asean-BAC berkata, ratifikasi CPTPP dapat menjadi “sauh” dan pemangkin kepada perubahan kerana peruntukannya akan mengenakan pelbagai standard yang mesti dipatuhi oleh sektor awam dan swasta.
Pengerusi Asean-BAC Munir Majid berkata, majlis itu serta perniagaan asing, bimbang mengenai pergolakan politik di negara ini pada saat ia menghadapi krisis yang belum pernah dilihat sebelum ini akibat wabak Covid-19.
“Kami bukan sahaja mewakili perniagaan, malah turut menyuarakan pandangan peribadi bahawa daya tarikan Malaysia bagi pelaburan asing kekal dan dapat ditingkatkan.
“Kami berharap melalui kerajaan baharu dan persefahaman dengan pembangkang akan tercetus kelegaan yang sangat diperlukan untuk negara benar-benar serius demi manfaat ekonomi,” katanya.
Seorang lagi ahli panel, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantau Majlis Perniagaan AS-Asean Michael W Michalak berkata, dialog awam-swasta yang berterusan diperlukan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik. – FMT
oleh Hakimie Amrie Hisamudin
credit photo: Klook