Buahfikir | Hmm, apalah awak buat dalam kelas geografi?

Zaman sekolah kenangan yang mengasyikkan. Dulu di sekolah, walaupun Roi belajar tak berapa nak pergi, tapi tetap hero gadis-gadis. Selain rupa paras, ramai pelajar tertarik dengan suara Roi. Bila sebut ‘nasyid’, Roi dalam fikiran mereka.

Tapi zaman sekolah dulu ada yang lagi menarik dari Roi. Bukan mamat lain, tapi subjek Geografi. Dengan kombinasi Cikgu Harun yang kelakar dan subjek yang membawa kita mengembara seluruh dunia menunggang mesin masa kembali ke zaman paleolitik, tamadun mesir hingga ke era pascamoden, Geografi menaikkan berahi jiwa berkelana seorang Roi.

Dengan Geografi, Roi kenal kejadian alam, habitat flora fauna, jenis muka bumi dan bermacam-macam hal keliling.

Dengan geografi juga, Roi faham kesan plastik kepada dunia, fenomena banjir kilat, pembentukan stlagtik dan stlagmik di gua dan segala macam jenis herba spiritual di kepulauan Melayu.

Paling koman, mereka yang belajar Geografi pasti maklum kesan nyahhutan kepada habitat flora fauna dan akibatnya kepada ekosistem alam sekitar. Ini perkara asas yang semua pelajar Geografi wajib tahu sebab kesan nyahhutan gerenti masuk ‘exam’ setiap tahun.

Jadi, Roi anggap se-skema mana pun seorang manusia itu, pasti dia tahu padah buruk memusnahkan hutan. Kecelakaannya bukan saja memusnahkan hidup makhluk lain, tapi kesannya sampai ke anak cucu cicit.

Anggapan Roi silap. Ada sekelompok kerajaan tak tahu padah buruk memusnahkan hutan. Menurut kenyataan dari Sahabat Alam Malaysia (SAM), didapati dari semasa ke semasa Hutan Simpan Bukit Cherakah telah diteroka dan dimusnahkan dengan alasan pembangunan.

Hutan Simpan Bukit Cherakah bukan kecil-kecil harta yang Selangor ada. Kaya dengan kepelbagaian flora – lebih dari 400 spesies termasuklah pokok meranti, cengal, keranji, kempas, rengas, resak dan lain-lain. 31 spesies daripadanya tak ada di mana-mana hutan Semenanjung Malaysia. Dua puluh spesies pokok lagi tersenarai sebagai spesies terancam dalam 2004 IUCN Red List of Threatened Species.

Malangnya, sekelompok kuasa ini bagaikan kera dapat bunga. Sorry kera.

Apa justifikasi dan keperluan Pihak Berkuasa Negeri luluskan kawasan berhutan untuk tujuan pembangunan sedangkan ia antara kawasan semulajadi yang masih ada di Mukim Kota Raja, Daerah Petaling, Selangor.

Dengan flora yang pelbagai, hutan simpan ini wajar dikekalkan sebagai paru-paru (green lung) membekal oksigen, sejuk dan hijau kepada Lembah Klang yang pesat dan sibuk.

Peranan flora dikacau, habitat dan hidup fauna dimusnahkan apabila hutan simpan ini tak dijaga dengan tegas dan berilmu. Dalam perut hutan ini, terdapat pelbagai spesies amfibia, reptilia, lebih dari 25 spesies ikan dan 3 spesies burung enggang.

Lepas ini, mungkin Lembah Klang bertambah panas, udara sesak, oksigen berkurang, tapir, landak, enggang dan pelbagai hidupan hutan hanyalah dinosaur bagi anak cucu cicit kita. Jadi, inikah keadaan yang kerajaan negeri
Selangor panggil sebagai pembangunan.

Hmm, apalah awak buat dalam kelas geografi? – PPI

Oleh Ahmad Roi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: