Berita | Kerajaan digesa buka semula industri acara
PETALING JAYA: Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) menggesa kerajaan membuka semula industri acara perniagaan bagi mereka yang telah menerima suntikan vaksin lengkap.
Ketua Eksekutifnya Abdul Khani Daud berkata, penting untuk kerajaan memahami bahawa acara perniagaan boleh diadakan secara selamat dan bertanggungjawab mengikut prosedur operasi standard (SOP), malah industri itu mampu menyumbang kepada pemulihan ekonomi.
Khani berkata, sektor itu boleh beroperasi secara selamat dengan menyediakan persekitaran terkawal, teratur dan selamat bagi acara perniagaan.
Menurutnya, ini termasuk pengesanan kontak semua peserta, dan pematuhan ketat garis panduan kerajaan berhubung kebersihan serta penjarakan sosial.
“Sejak penubuhannya, MyCEB telah membantu negara ini mengadakan lebih 1,300 acara sejak 2010-2020 dan menyumbang sekitar RM11.4 bilion (untuk ekonomi),” katanya.
Beliau berkata, acara perniagaan bukannya perhimpunan sosial kerana aktivitinya melibatkan mesyuarat korporat dan kerajaan, selain persidangan, pameran serta insentif.
Katanya, aktiviti berkenaan bukan saja memberi kesan langsung terhadap ekonomi, malah lebih penting lagi membantu memacu ciptaan kandungan, pertukaran idea, pembangunan profesional dan peluang pelaburan.
“Malangnya, sejak pandemik, Malaysia merekodkan 57 penangguhan dan 66 pembatalan acara antarabangsa.
“Walaupun keadaan mencabar, MyCEB terus bekerjasama dengan pemegang taruh membida untuk acara antarabangsa, dengan 164 acara perniagaan telah diperoleh dari 2022 hingga 2030,” katanya. – FMT
kredit foto: M&C Asia