Berita | Suntikan dos penggalak dimulakan di Sarawak bulan depan

KUCHING: Sarawak akan menjadi negeri pertama memberi dos penggalak vaksin COVID-19, bermula bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketika ini pihaknya masih dalam proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan program suntikan dos ketiga itu.

Antara yang sedang diteliti, katanya, ialah jenis vaksin, sama ada penerima akan diberi vaksin sama dengan dua dos terdahulu atau menggunakan vaksin jenis lain yang sesuai.

“Kita akan fokus kepada golongan berisiko yang berumur 60 tahun ke atas serta yang berkomorbid serius. Ini kerana golongan itu adalah majoriti yang mengalami gejala serius di hospital, terutamanya yang memerlukan rawatan di wad unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Pengurusan Pandemik bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, yang juga Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, tumpuan pemberian suntikan dos penggalak kepada golongan berisiko tinggi itu selaras dengan amalan di negara lain, termasuk di Amerika Syarikat (AS).

“Ini kerana kita tidak mahu menggunakan sumber (vaksin) yang kita ada untuk mereka yang tidak memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya berusaha meningkatkan kapasiti kesihatan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil dengan berkesan jika berlaku peningkatan mendadak kes serius di Sarawak.

“Untuk itu, kita akan membekalkan 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen yang akan dihantar dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Selasa ini.

“Kita juga sudah menambah katil ICU dengan yang ada sekarang 10 katil di Sibu, manakala 20 lagi akan kita tambah. Terpulang kepada kerajaan Sarawak untuk menentukan lokasi ia ditempatkan,” katanya.

Mengenai imunisasi kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang jumlahnya dianggarkan mencecahkan dua juta hingga empat juta orang di negara ini, Khairy berkata, ia sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Kita sebenarnya sudah pun melaksanakan program outreach di seluruh negara bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

“Ini dasar kita. Sesiapa sahaja yang datang ke pusat pemberian vaksin (PPV), termasuk individu yang tidak memiliki dokumen tetap diberi vaksin dan sehingga kini, program outreach itu masih berterusan,” katanya tanpa mendedahkan jumlah PATI yang sudah menerima vaksin. – BH Online

oleh Mohd Roji Kawi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: