Berita | Awas sindiket menyamar pegawai kerajaan

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menerima laporan sebanyak 1,421 kes penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon yang melibatkan kerugian berjumlah RM 57,372,102.72 sejak Januari hingga 15 September lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket itu akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, mahkamah, Kastam Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Melalui panggilan tersebut, sindiket akan cuba menakutkan mangsa dengan memaklumkan penglibatan mangsa dalam siasatan kes jenayah,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Mohd Kamarudin berkata, mangsa yang percaya dengan dakwaan yang dibuat seterusnya akan diarahkan untuk menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, ID pengguna, nombor kad pengeluaran tunai dan nombor TAC kepada sindiket dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa.

“Mangsa juga diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) yang kononnya milik pegawai Bank Negara bagi tujuan siasatan.

“Mangsa dijanjikan bahawa wang tersebut akan dikembalikan semula selepas beberapa hari,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati wang tersebut tidak dikembalikan.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon terutamanya melibatkan siasatan.

“Jabatan kerajaan khususnya pihak polis hanya akan berhubung melalui telefon untuk membuat janji temu dan urusan lanjut akan dibuat di pejabat kerajaan yang berkaitan,” katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun, kata laluan perbankan atau jumlah wang di dalam akaun bank juga tidak akan diminta melalui panggilan telefon.

“Dalam usaha untuk mencegah kes-kes sebegini daripada terus berlaku, pihak polis menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika berurusan melalui panggilan telefon.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak berkongsi maklumat kewangan atau perbankan kepada mana-mana pihak bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” tegasnya.

Mohd Kamarudin memaklumkan, sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi CCID Response Center di talian 03-2610 1559/1599.

oleh Ahmad Ismadi Ismail

kredit foto: PDRM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: