Berita | RMKe-12 tumpu 9 fokus utama pacu ekonomi negara

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat yang menetapkan hala tuju strategik bertemakan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.

RMKe-12 bagi tempoh 2021-2025 itu merangkumi sembilan fokus utama iaitu Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi, Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan, Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam dan Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan.

Turut menjadi fokus utama ialah Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia, Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun,

Mempercepat Pertumbuhan Hijau dan Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang berkesan

Perdana Menteri berkata, RMKe-12 yang digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19 adalah perancangan penting sebagai pelengkap kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi serta mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

Beliau berkata, sejumlah lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bermula pada 27 Mac 2020 telah berjaya menstabilkan ekonomi negara sehingga Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 setelah menguncup pada empat sukuan sebelumnya.

Katanya, ia akan diteruskan menerusi RMKe-12 yang akan membolehkan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik malah semua strategi dan inisiatifnya sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015.

“Kita mahu memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada arus pembangunan.

“Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum. Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan,” katanya sewaktu membentangkan usul RMKe-12.

Kata Perdana Menteri, beliau sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan, untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi.

Katanya, kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, Ahli Parlimen dan kerajaan negeri, namun oleh kerana keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad.

“Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan. Oleh itu, peruntukan pembangunan kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan.

“Insya-Allah, kita menjangkakan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh.

“Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMKe-12,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah terlibat dalam penyediaan awal dokumen RMKe-12 sejak Mac 2020. – BH ONLINE

oleh Saiful Haizan Hasam

kredit foto: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: