Berita | Tangguh dulu rentas negeri hingga kemasukan hospital, ICU turun 50%, kata MMA

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Putrajaya supaya menangguhkan kebenaran rentas negeri sehingga kadar kemasukan ke wad hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan lebih banyak penurunan.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, selain kadar vaksinasi, kadar kemasukan ke hospital di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan juga harus diambil kira kerajaan sebelum memberi kebenaran itu.

Katanya, ambang 90% untuk mencapai kadar vaksinasi dewasa mungkin munasabah tetapi jumlah pendatang asing tanpa dokumen juga perlu diambil kira bagi mendapatkan angka yang lebih tepat.

“Kita perlu tunggu sehingga kadar kemasukan ke hospital dan ICU menurun lebih banyak dan ketara sehingga 50% penggunaan katil. Rentas negeri boleh dibenarkan dengan kadar kemasukan hospital yang rendah,” katanya kepada FMT.

Koh bersetuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa rentas negeri bukan isu tetapi masalahnya ialah apabila orang ramai berhimpun dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, mereka yang pulang ke kampung untuk bertemu ahli keluarga tersayang mungkin turut disambut oleh individu yang belum menerima vaksin dan biasanya pelitup muka juga ditanggalkan.

“Ini tidak boleh dikawal oleh pihak berkuasa. SOP jelas perlu digariskan dan orang ramai mesti bertanggungjawab untuk mengamalkannya,” katanya.

“Kita perlu tahu bahawa ramai pakar telah memberi amaran mengenai peningkatan kes di negara ini sebaik masuk ke fasa endemik. Kita kini melihat peningkatan kes di Singapura yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi. Malaysia juga harus bersedia terhadap kemungkinan ini.”

Koh berkata, mereka yang tidak membentuk sistem imun mencukupi selepas menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 perlu mendapatkan dos penggalak sebelum melakukan perjalanan ke luar.

Kerajaan mengumumkan rentas negeri dan aktiviti pelancongan akan dibenarkan sebaik negara mencapai 90% kadar vaksinasi dewasa dan Khairy berkata, peratusan itu hanya mewakili 60% daripada keseluruhan populasi.

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan harus mula menyediakan kemudahan kesihatan untuk berdepan kemungkinan peningkatan kes dan melakukan pelan pandemik yang lebih kukuh berbanding bersikap reaktif.

“Kita mesti memberikan perhatian khusus kepada golongan berisiko tinggi dan kanak-kanak. Mereka yang berusia 12 hingga 17 tahun baharu sahaja mendapat inokulasi. Kes dalam kalangan kanak-kanak meningkat sebanyak 33 kali ganda pada 2021 (400,000) berbanding 2020 (13,000),” katanya kepada FMT.

Dzulkefly turut mempersoalkan nilai ambang 90% itu memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan angka berdasarkan bancian 2010.

Katanya, populasi pendatang asing dan pelarian juga perlu diambil kira. – FMT

oleh Nicholas Chung

kredit foto: MorsaImages

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: