Berita | GST bukan jalan penyelesaian ajaib, kata pakar cukai

Seorang pakar kewangan menolak sebarang keperluan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menjelang pembentangan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat akhir bulan ini.

Presiden Institut Akauntan Malaysia Veerinderjeet Singh berkata GST bukan “jalan penyelesaian ajaib” yang dapat menyelesaikan masalah fiskal Putrajaya, sambil menambah pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa melakukan banyak perbelanjaan.

“Ia tidak boleh diperkenalkan dengan segera,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Awal sekali, anda mesti ubah undang-undang, kemudian harus beri kesedaran dan didik masyarakat.

“Kita mungkin perlukan sekurang-kurangnya setahun berkempen untuk sedarkan rakyat.”

Kerajaan Barisan Nasional memperkenalkan GST sebanyak 6% ketika pentadbiran Najib Razak pada April 2015 bagi menggantikan SST sebagai sebahagian daripada pembaharuan cukai.

Pada 2017, GST menjana RM40 bilion untuk kerajaan.

Setahun kemudian, Pakatan Harapan (PH) menggantikan pelaksanaan GST kepada SST semula selepas menjadi kerajaan susulan kemenangan dalam pilihan raya umum pada 9 Mei.

Penggantian semula cukai tersebut adalah salah satu janji utama dalam manifesto PH, dengan hujah GST menyebabkan kenaikan kos sara hidup.

PH kemudian tumbang awal tahun lalu selepas peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sejak itu, beberapa pihak menggesa kerajaan supaya memperkenalkan semula GST termasuk Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi pada bulan lalu.

Semalam, Najib juga turut mempertahankan pelaksanaan cukai tersebut di Dewan Rakyat, mengatakan ia memainkan peranan penting dalam mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Beliau turut berkata ia membantu dalam mengurangkan ketirisan akibat penguncupan ekonomi gelap bernilai RM300 bilion setahun.

Veerinderjeet yang menulis beberapa buku mengenai percukaian, berkata GST lebih banyak menjana pendapatan kepada kerajaan kerana ia merangkumi lebih banyak barang berbanding SST.

“GST merangkumi hampir 70% barang dan perkhidmatan,” katanya.

“Ketika ia dihapuskan dan kita kembali laksanakan SST, rangkuman percukaian barang dan perkhidmatan hanya 38%.”

Namun beliau tetap mengatakan tiada keperluan ketika ini untuk memperkenalkan semula GST, namun mencadangkan supaya memperluas ruang lingkup barang dan perkhidmatan yang dikenakan SST.

Menurutnya, rakyat ketika ini berdepan impak buruk akibat wabak Covid-19, dengan memperkenalkan cukai baru ia hanya akan menyebabkan kenaikan harga barang.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan membuat peraturan baru sekiranya GST diperkenalkan semula, mengatakan pembayaran semula GST pada masa lalu adalah terlalu lambat.

Veerinderjeet berkata, dalam jangka panjang, kerajaan harus memperkenalkan pembaharuan cukai dari segi struktur dan kemampuan pentadbiran jabatan cukai selain turut memberikan insentif cukai.

“Ia harus menjadi rancangan dalam jangka masa lima hingga tujuh tahun,” katanya.

“Anda perlu teliti cukai yang kita ada pada masa waktu ini – bagaimana kita dapat menambah baik sistem dan bagaimana kita dapat memudahkan rakyat untuk patuhi sistem tersebut.”

Namun, beliau memperingatkan kerajaan tidak boleh memberikan insentif cukai secara mudah dalam usaha menarik pelaburan ke dalam negara.

“Berikan insentif cukai kepada jenis-jenis perniagaan tertentu yang kita mahu tarik. Berikan kepada perniagaan yang lebih lestari, yang boleh menyumbang kepada negara dan membawa teknologi baru.

“Ia tidak boleh diberikan kepada industri buruh intensif,” katanya.

Veerinderjeet juga berkata kerajaan boleh mempertimbangkan cukai bertujuan khas dalam belanjawan yang bakal dibentangkan bagi membantu perbelanjaan dalam usaha memerangi Covid-19.

“Cukai khas ini bermaksud kita kenakan cukai pada perniagaan tertentu dalam satu tempoh masa, mungkin selama dua tahun.

“Ia membolehkan kerajaan mengumpulkan sejumlah dana daripada perniagaan yang mengaut keuntungan (ketika pandemik), sekali gus dapat membayar sejumlah amaun kepada kerajaan,” katanya, sambil menambah kerajaan perlu memutuskan apakah sektor yang boleh dikenakan cukai.

Beliau berkata wang daripada cukai tersebut perlu digunakan secara khusus bagi penjagaan kesihatan.

“Mengapa kita tidak minta perniagaan berikan sumbangan kepada kerajaan? Ini adalah isu yang rumit. Sumbangan boleh tolak cukai, yang bermaksud pendapatan daripada hasil cukai akan menurun.

“Dan anda mungkin tidak mampu kumpul jumlah sebanyak itu,” katanya. – MALAYSIA NOW

oleh Ahmad Mustakim Zulkfili

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: