Berita | Inti pati RMK12 diperhalusi sepanjang minggu ketiga persidangan

KUALA LUMPUR: Inti pati rancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun menjadi fokus sepanjang minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat selepas Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Isnin lepas.

Pembentangan Rancangan Malaysia bagi tempoh 2021 sehingga 2025 yang ditangguh beberapa kali sebelum ini, dibahas Ahli Parlimen sepanjang tiga hari persidangan berlangsung.

Ketika sesi perbahasan bermula Selasa itu, Ahli Parlimen kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang antara lain bersetuju bahawa RMK12 perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat pasca pandemik COVID-19.

Kesepakatan antara Ahli Parlimen kedua-dua blok turut diperlihatkan dalam isu pendidikan dengan antaranya Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) menarik perhatian dewan mengenai keselamatan sekolah yang terletak di sepanjang tebing sungai dan keperluan memindahnya ke tempat lebih selamat.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula berharap, setiap sekolah dapat dilengkapi liputan Internet, manakala Tony Pua (PH-Damansara) mencadangkan supaya tumpuan diberikan kerajaan kepada usaha melahirkan bakat muda berkualiti berbanding hanya mementingkan statistik keputusan peperiksaan.

Sepanjang tiga minggu persidangan pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri itu juga, rata-rata perbahasan berjalan lancar dan teratur dengan blok pembangkang serta kerajaan sepakat dan menyokong antara satu sama lain dalam perkara berkaitan kesejahteraan dan usaha membantu rakyat mengharungi kehidupan pasca COVID-19.

Selama tiga hari perbahasan RMK-12 oleh 71 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang itu, tidak menyaksikan isu politik dibangkitkan sehingga boleh menimbulkan kekecohan dewan sebaliknya, perbahasan dan soalan banyak berkisar mengenai masalah yang dihadapi rakyat berikutan pandemik COVID-19.

Selain itu, antara yang menarik minggu ini ialah cadangan disuarakan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) supaya kerajaan segera mewujudkan mahkamah sesyen khas di seluruh negara khusus untuk membicarakan kes berkaitan kesalahan jenayah seksual membabitkan mangsa kanak-kanak.

Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) turut mencuri tumpuan apabila Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mencadangkan supaya ia dilaksanakan semula dengan alasan ia mampu menyasarkan ‘ekonomi gelap’ bersaiz RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas daripada membayar sebarang cukai.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutarakan pendapat supaya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) disambung dengan HSR dari Bangkok, Thailand dan menyifatkan impak projek seperti itu mampu memberi kesan berganda dari segi peluang pekerjaan dan pewujudan bandar baharu.

Berlainan pendapat dengannya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya mahu kerajaan menangguhkan pelaksanaan projek mega dalam RMK12, dan menggunakan dana pembangunan itu untuk membantu rakyat khusus golongan miskin di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Dewan Rakyat turut dimaklumkan usaha kerajaan menambah bilangan guru mata pelajaran Pendidikan Islam seluruh negara, selain sebanyak 186 projek naik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di Sarawak diluluskan sejak 2019 hingga 2021 dengan kos RM1.579 bilion.

Ahli Parlimen turut dimaklumkan mengenai beberapa projek menaik taraf liputan 4G di Sarawak dengan fokus diberikan kepada kawasan Julau dan komitmen kerajaan meneruskan bantuan tunai bersasar sebagai tanggungjawab kerajaan membantu mereka yang memerlukan.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini turut menerima Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2, yang menyaksikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan menjalankan prosiding terhadap 25 isu bersifat punitif yang dilaporkan di dalam dokumen berkenaan. – BERNAMA

kredit foto: BH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: