Berita | Sukar kawal pematuhan SOP pandemik, elak PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas mengambil kira kesukaran mengawal pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di musim pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pelaksanaan PRN dengan mengehadkan aktiviti kempen secara bersemuka juga bertentangan dengan proses demokrasi dalam pilihan raya.

“Disebabkan COVID-19, PRN Melaka patut dielak. Dalam pilihan raya susah nak kawal, walaupun ada SOP, orang tetap langgar sampai tunggang langgang.

“Jika sekat kempen bersemuka dan buat melalui media sosial, orang kampung bukan semua ada internet, hanya orang tertentu saja yang ada capaian.

“Ini mengganggu proses demokrasi kerana kempen adalah komponen penting dalam proses pilihan raya demokrasi,” katanya kepada BH, hari ini.

PRN Melaka perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu, susulan kemelut politik yang tercetus di negeri itu.

Ab Rashid berkata, PRN juga berisiko menggugat kelangsungan hidup rakyat memandangkan mereka baru saja menarik nafas lega dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan.

Katanya, ia juga boleh menjejaskan pendapatan negeri yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan jika berlaku letusan jangkitan akibat PRN.

“Sebab itu saya tak sokong adakan PRN di Melaka, saya berkongsi sentimen ini dengan rakyat yang ramai tidak bersetuju.

“Sekarang orang baru boleh keluar berniaga dan cari makan, jika dihancurkan proses itu secara tiba-tiba, ia jadi tidak bagus.

“Ia juga menyusahkan SPR pada masa depan kerana terpaksa adakan dua pilihan raya secara berasingan di Melaka iaitu PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) ,” katanya.

Sementara itu, Ab Rashid turut mencadangkan penubuhan badan seperti majlis gerakan negeri untuk mengambil alih pentadbiran negeri Melaka melalui proklamasi darurat seperti yang berlaku di Kelantan pada 1977.

Katanya, majlis itu boleh meneruskan urusan pentadbiran biasa Kerajaan Melaka sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri atau pegawai kanan kerajaan dari Putrajaya.

“Ketika darurat di Kelantan dulu, pentadbiran kerajaan negeri diketuai Tan Sri Hashim Aman (bekas Ketua Setiausaha Negara ke-7), di bawah beliau ada ketua polis negeri dan ketua jabatan untuk menguruskan pentadbiran biasa,” katanya. – BERITA HARIAN

oleh Saiful Haizan Hasam

kredit foto: FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: