Buahfikir | Air, alam dan manusia


 
Manusia normal mampu hidup 92 hari tanpa makanan, tapi tidak mampu bertahan lebih 72 jam tanpa air. Air komponen penting bagi tubuh manusia.

60 peratus hingga 70 peratus dari berat badan manusia terdiri dari air. Betapa menyeluruhnya kepentingan air kepada tubuh kita – dari proses dalaman (pencernaan dan pembentukan sel baharu) hinggalah kepada memastikan kelembapan kulit.

Harap pembaca tidak salah faham. Artikel ini bukanlah iklan penapis air berjenama. Artikel ini tentang hubungan, antara kita dan air.

Sejarah tertulis, hampir semua tamadun dunia bermula dan tumbuh di tepian air. Sungai Tigris, Sungai Nil, Sungai Kuning (Ho) dan Sungai Gangga jadi saksi bermulanya tamadun Mesopotamia, Mesir, Cina dan India. Tamadun ini terus berkembang seiring sungai terus mengalir.

Bagi tradisi masyarakat Nusantara, air bukan saja cecair penting yang tersimbol sebagai H20, malahan konsep ‘air’ turut mengalir dalam agama, budaya dan bahasa masyarakat sebelah sini.

Melalui agama, kita diajar perihal air mutlak, air musta’mal serta wudu’. Kalau bukan kerana air (sungai dan laut), orang Nusantara tidak terkenal handal dengan kemahiran menguasai perairan dan teknologi membuat jong.

Dalam Catatan Kerajaan Budha, kapal yang disebut sebagai Jong dianggarkan panjangnya 200 kaki dan boleh membawa muatan 600 sehingga 700 orang. Handal!

Ingatkah kita betapa indahnya bahasa orang dulu memerihalkan ‘tenang’ dan ‘akrab’. Tenang bagai air di kali dan bagai air dicincang tidakkan putus bukti hubungan intim antara kita dan air, sampaikan  kita meminjam sifat air untuk mencapai makna dan faham sesuatu yang abstrak.

Tapi, sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Dalam hubungan antara kita dan air, ada hujan di tengah hari itu. Ada khianat dalam hubungan.

Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017, sebanyak 51 sungai tercemar di seluruh Malaysia berpunca dari aktiviti industri, kumbahan, penternakan dan dijadikan kawasan pembuangan sampah.

Terbaru, April 2019, kajian yang dijalankan Pusat Pengajian Sains Marin (UMT) mendapati pencemaran logam berat seperti arsenik, kadmium, plumbum dan merkuri banyak dikesan di kawasan muara sungai dan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka.

Kita bertuah kerana Malaysia dilimpahkan sumber air tawar dengan purata tahunan 324 bilion meter padu air hujan, tapi kualiti air sungai makin terjejas. Proses pembangunan melalui aktiviti korek pasir, tarah bukit dan pembalakan punca kemusnahan kawasan tadahan air hujan.

Akibatnya sungai jadi tong sampah semulajadi!

Pembangunan material menjadikan kita lupa dan sombong, apatah lagi zaman moden ini kita tidak lagi bergantung kepada sungai sebagaimana masyarakat tradisi. Tapi, apakah kita juga lupa, manusia normal mampu hidup 92 hari tanpa makanan, tapi tidak mampu bertahan lebih 72 jam tanpa air? – PPI

oleh Ahmad Roi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: