Buahfikir | Sejuta kali goncang dunia!


 Sekarang, dianggarkan mereka berumur 15 – 30 tahun merupakan kelompok teramai dalam populasi rakyat Malaysia – lebih kurang 30.5 peratus. Inilah modal anak muda yang Malaysia ada, kira-kira 10 juta orang.

Kalau diikutkan logik Sukarno, Malaysia punya kekuatan 1 juta kali goncang dunia! Baiklah, berlebihan pula kalau mahu goncang dunia 1 juta kali.

Tapi, soalan yang dikira tepat buat masa sekarang; apakah cabaran anak muda dalam era Malaysia Baharu?

Soalan ini penting sebab mereka kelompok teramai tapi sebelum menjelang PRU 14, hampir semua parti politik Malaysia resah sebab anak muda tidak turun sertai program dan aktivitisme yang digerakkan parti politik. Skema katanya.

Belia 4B, kelab belia kampung, persatuan kompang, kelab memanah dan beratus jenis platform aktiviti anak muda jadi rumah tinggal usang.

Sebahagian besar kelompok ini terdiri dari generasi Z. Generasi yang tengah naik dengan keunikan dan kepelikan zaman. Semangat zamannya lain dengan generasi Y, generasi sebelumnya. Lainnya bukan lain sikit. Lain banyak sampai wujud jurang antara dua generasi ini.

Generasi ini lahir ketika teknologi internet sudah ada, berbanding generasi Y yang berada dalam garis perubahan media massa dan menjadi saksi jatuhnya media arus perdana.

Pengalaman membesar generasi Z sangat bergantung dengan gajet/teknologi komunikasi. Internet bagaikan oksigen. Kalau kereta, ia bagaikan petrol.

Hampir semua tugasan harian dilaksanakan dengan gajet/teknologi komunikasi. Gajet jadi pancaindera dan internet jadi rumah bagi generasi ini.

Tidak seperti generasi sebelumnya, semua komunikasi sosial dan komunikasi kerja menggunakan gajet menyebabkan komunikasi lisan nyata yang sangat sedikit.

Jadi, bijak pandai dari universiti gelarkan mereka dengan macam-macam gelar seperti the silent generation, iGneration, generasi senyap dan generasi internet.

Whatsapp, facebook, wechat, bigo dan beratus lagi aplikasi jadi kaki dan tangan generasi Z untuk jalankan kerja dan aktiviti sosial.

Kemajuan teknologi komunikasi melampaui sempadan tempat (global) buatkan generasi Z menerima apa yang dipaparkan di skrin sebagai nyata dan realistik walaupun hanya atas talian.

Semangat zaman melampaui sempadan tempat dan negara jadi kata kunci memahami generasi Z. Semangat ini bentuk cara pandang generasi Z yang lain terhadap konsep politik dan sosial berbanding generasi sebelumnya.

Misalnya, kalau 20-30 tahun dulu, kembang kuncup hidung kalau dapat jadi orang kerajaan, tapi sekarang kerja kerajaan bukan lagi pilihan generasi Z.

Dulu, sekitar awal 90-an hampir separuh kelas cita-citanya jadi cikgu, polis, jururawat, askar, bomba dan ulang semula. Sekarang, cita-cita anak sekolah lebih macam-macam dan sophisticated sampai tergeliat lidah menyebutnya – jadi orang kerajaan bukan lagi pilihan.

Kajian INTI International University & Colleges tunjuk sebanyak 68 peratus golongan generasi Z di Malaysia memilih sektor pekerjaan bebas untuk bekerja. Kebanyakannya mahu kerja sendiri. Mereka tidak mahu berfikir seperti orang kerajaan fikir – apatah lagi ditentukan rutinnya 8 pagi hingga 5 petang.

Satu sisi, semangat zaman generasi ini memandu mereka untuk jadi lebih kreatif dan unik. Tapi, satu sisi lagi generasi ini cenderung terperangkap dalam ruang maya – yang dirasakan nyata dan realistik. Terperuk keseorangan tidak bercampur orang.

Inilah cabaran bagi Malaysia Baharu, anak mudanya ramai tapi tidak muncul di ruang nyata. Jangan sampai 10 orang pemuda yang dicari Sukarno tengah sibuk berjoget Tik Tok! – PPI

kredit foto: FMT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: