Buahfikir | Moden, muda & murung

Ingat lagi, Roi lukis beberapa buah kereta terbang, dua daripadanya melintasi KLCC di angkasa raya. Roi juga lukis robot yang boleh menguruskan kerja dapur, beg sekolah yang boleh berbual dan kasut roda yang berkelajuan EX5 standard – baru nampak futuristik.

Bagi menggambarkan lukisan itu berlatarkan Malaysia, Roi lukis tiga sekawan – Amin, Ah Seng dan Muthu. Tambah sikit bunga raya. Barulah majmuk lagi harmoni, kena dengan Wawasan 2020, melahirkan Bangsa Malaysia.

Setelah bertungkus lumus memindahkan imaginasi ke atas sehelai kertas, Roi berjaya dapat saguhati Pertandingan Melukis bertemakan “Wawasan 2020” anjuran AJK Taman Lui, 15 tahun lepas.

Roi tahu, membayangkan tahun 2020 sebagai masa depan yang penuh teknologi, kecanggihan dan kemajuan bukan imaginasi Roi seorang.

Buktinya, hampir semua lukisan atau poster bertemakan tahun 2020 ada kereta terbang. Malah, pernah ada cubaan merealisasikan imaginasi kereta terbang dengan cara paling sempoi menggunakan drone.

Menambahkan lagi sensasi futuristik tahun 2020 apabila pada tahun 1991, Tun Mahathir menjadikan 2020 sebagai wawasan dengan 9 cabaran – sampaikan ada lagu Wawasan 2020.

2020 betul-betul lambang maju, bagaikan “buruh, nelayan dan juga petani, gaya hidup ini dah berubah”.
Dan sekarang, kita ada pada tahun 2020. Waktu yang dimpi-impikan dalam imaginasi kolektif rakyat Malaysia.

Tapi, tidak semua cerita ‘happy ending’. Bagaikan filem horror arahan Sion Sono, rupa-rupanya 2020 ada ‘twist’.
‘Twist’ cerita 2020 kita jumpa di mana-mana – di balik data remaja muflis pada 2020, pada statistik miskin bandar dan paling banyak di media sosial;

“Ingatkan ada kereta terbang, rupa-rupanya tahun ini kereta langsung tak boleh gerak, kapal terbang pun tak boleh terbang,” tulis Ismail Alis di laman Facebooknya beberapa minggu lepas, mengaitkan 2020 dengan pandemik COVID-19.

Dalam Facebook lagi, Abidah Razi kata “Isu perkauman, agama, bahasa masih lagi jadi peluru segelintir pihak merebut kuasa, jangan mimpilah bangsa Malaysia!”

Tapi ada satu komentar pasal 2020 yang menarik perhatian Roi, juga dari Facebook oleh Linda Thoha – “2020 dibayangkan masyarakat maju dan saintifik, malangnya di tahun ini manusia bertemu murung.”

Ya, ironi 2020 bukan tentang ada atau tidak kereta terbang. Lebih penting, adakah manusia semakin bahagia dengan segala macam kemajuan?

Kata Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah, Dr Ruzita Jamaluddin, penyakit mental merupakan kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas sakit jantung.

Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini mungkin tidak menggambarkan bilangan sebenar.

Kata Profesor Bersekutu Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Dr Ng Chong Guan, kira-kira 30 peratus populasi rakyat di negara ini mengalami masalah penyakit mental dengan majoriti wanita berisiko tinggi mendapat simptom berkenaan.

“Peningkatan pesakit mental dalam kalangan penduduk negara ini akan bertambah sekali ganda dalam tempoh 10 tahun.

“Berdasarkan nisbah, didapati seorang daripada tiga orang menghadapi masalah kesihatan mental dan angka ini semakin membimbangkan tahun demi tahun.”

Kata Profesor itu lagi, antara penyumbang gejala gangguan mental ialah faktor kemurungan dengan 40 peratus penduduk tempatan menderita sepanjang hayat mereka akibat penyakit berkaitan itu.

Ya, ketika 2020 menolak masyarakat menjadi lebih saintifik dan maju, manusia jadi murung.

Pasti kita sedar, saintifik dan maju sangat identik dengan pembandaran dan kemodenan. Perlu juga kita sedar, selalunya proses kemajuan fizikal berkadar langsung dengan kesihatan mental.

Sejak 1930-an, terdapat corak ketara individu yang dimasukkan ke pusat rawatan mental di Chicago, Amerika Syarikat (AS).

Dapatan menunjukkan kadar penyakit skizofrenia dilaporkan mereka agak luar biasa tinggi dalam kalangan penduduk yang lahir dalam kawasan bandar.

Sejak itu, penyelidik mendapati penyakit mental untuk semua kategori biasa dialami di bandar, terutama yang padat penduduk berbanding di kawasan lebih hijau atau luar bandar.

Kajian Institut Pusat Kesihatan Mental di Mannheim, Jerman, juga menunjukkan corak yang sama – masalah sosial seperti kesunyian, stress dan kemurungan berpunca apabila manusia tinggal terlalu dekat antara satu sama lain, kesan dari pembandaran.

Pada 2015, satu kajian di Hong Kong menunjukkan kawasan miskin bandar, dengan kepadatan penduduk yang tinggi seperti Sham Shui Po dan Kowloon City mengalami kadar bunuh diri yang tinggi.

Jadi, pada tahun ini kita renung kembali imaginasi lepas, apalah makna kota kalau buta, apalah makna maju kalau murung? – PPI

oleh Ahmad Roi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: