Berita | British sedia £6 bilion dana perbelanjaan kesihatan
LONDON: Kerajaan British memperuntukkan dana sebanyak £6 bilion dalam bajet 2022 khusus untuk Perkhidmatan Kesihatan Nasional bagi mendepani cabaran pandemik COVID-19.
Menteri Kewangan, Rishi Sunak turut dilaporkan akan mengumumkan peruntukan dana sebanyak £5 bilion bagi pelaksanaan projek berkaitan inovatif kesihatan.
“Ia satu pelaburan besar-besaran bagi memastikan kita mempunyai bangunan, kelengkapan dan sistem yang terbaik untuk membantu pesakit,” katanya kepada agensi penyiaran BBC, semalam.
Sunak akan membentangkan bajet berkenaan pada Rabu ini, sekali gus menarik perhatian penduduk British mengenai jumlah cukai akan diperoleh kerajaan dan ke mana ia dibelanjakan pada tahun hadapan.
Sementara itu, pejabatnya mengeluarkan pecahan perincian bajet berkenaan yang mana sebahagian daripadanya adalah dana kepada pesakit yang menunggu ujian diagnostik dan operasi bukan kecemasan.
Sebahagian daripada dana itu juga akan dibelanjakan bagi mewujudkan 100 pusat diagnostik di seluruh England untuk merawat penyakit berbahaya seperti kanser.
Sunak berdepan pelbagai cabaran untuk merangka bajet 2022 akibat penularan pandemik COVID-19 dan langkah sekatan sehingga timbul ramalan yang kerajaan mungkin menaikkan cukai bagi menangani peningkatan pinjaman.
“Semua pihak perlu menunggu Rabu ini bagi mengetahui pelan percukaian kerajaan,” katanya.
Ketika berkata kepada Sky News, Sunak berkata, kadar pengangguran yang rendah menunjukkan pelan kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan menunjukkan keberkesanan.
Namun, beliau menyedari masalah kekurangan bekalan keperluan dan harga tinggi tenaga menjejaskan bajet isi rumah.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Sajid Javid berkata, pelaburan perlu ditambah dalam perawatan COVID-19 dan pembangunan vaksin di UK bagi memerangi pandemik itu.
“Pelaburan baharu akan mencapai matlamatnya dengan menggalakkan penemuan baharu teknologi dan perubatan,” katanya. – AFP
kredit foto: AFP