Berita | Jawatankuasa putus larangan perhimpunan di Sarawak
KUCHING: Larangan perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri ini akan ditentukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, jawatankuasa itu akan membuat keputusan yang memberi manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat
“Kita tunggu sahaja keputusan yang akan dibuat JPBNS dalam masa terdekat ini.
“JPBNS akan membuat keputusan selepas mendapat pandangan daripada pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai larangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan sebarang perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya, termasuk pelancaran jentera bermula hari ini sehingga 27 November depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipetik sebagai berkata, larangan ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri dalam masa terdekat.
Abdul Rahman berkata, keputusan dibuat KKM untuk memastikan jangkitan COVID-19 dapat diminimumkan.
“Kelonggaran yang diberikan kerajaan sebelum ini untuk memastikan masyarakat dapat kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.
“Namun terdapat segelintir masyarakat yang mengabaikan SOP ditetapkan kerajaan,” katanya. – BH Online
oleh Norsyazwani Nasri
kredit foto: DayakDaily