Berita | 98 kematian COVID-19, semua kes tertunggak
PUTRAJAYA: Sebanyak 98 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam dan semuanya adalah kes tertunggak, serta 32 daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Menerusi laman web COVIDNOW, pertambahan kes kematian itu menjadikan hingga kini jumlah keseluruhan angka korban yang disahkan positif COVID-19 adalah sebanyak 28,674 kes.
Perkembangan itu menyaksikan, daripada jumlah keseluruhan kematian yang direkodkan itu terdapat 22,871 kes kematian direkodkan di hospital manakala 5,803 pesakit COVID-19 meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.
Dalam pada itu, mengenai kes yang masih aktif di negara ini, data menunjukkan hingga jam 11.59 malam tadi, sejumlah 71,713 kes yang masih dijangkiti COVID-19.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 55,371 kes atau 77.2 peratus masih menjalani kuarantin wajib di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (9,611), hospital (6,169), unit rawatan rapi (ICU) (270) dan ICU serta tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (292). – BERITA HARIAN
oleh Noor Atiqah Sulaiman
kredit foto: KOSMO