Berita | Ada ruang Pas, UMNO, Bersatu bersama dalam PRN Melaka’
SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi bayangan bahawa masih ada ruang untuk Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.
Beliau berkata, perkara itu dicapai dalam pertemuan dan mesyuarat pada malam Jumaat.
“Saya ingin menyampaikan berita gembira, walaupun ini bukan keputusan muktamad tetapi nampaknya ada ruang untuk ketiga-tiga parti duduk bersama pada PRN Melaka nanti.
“Malam tadi saya ada pertemuan serta mesyuarat dan ada beberapa ruang yang boleh kita capai bersama,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas Kali ke-61 dan melancarkan TV Wanita Sejahtera secara maya pada Sabtu.
Pada Rabu, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas pada PRN Melaka menerusi Muafakat Nasional (MN) namun tiada pendirian yang dinyatakan mengenai kerjasama dengan Bersatu.
Ketiga-tiga parti itu sebelum ini pernah bekerjasama dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH). – SINAR HARIAN
oleh Raiham Mohd Sanusi
kredit foto: TheStar