Berita | PRN Melaka: COMWEL bangga peningkatan calon wanita – Zuraida
KUALA LUMPUR, 10 NOV : Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) berbangga dengan peningkatan jumlah calon wanita yang diletakkan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada 2021.
Pengasas merangkap Presiden COMWEL, Zuraida Kamaruddin berkata calon wanita dalam PRN Melaka telah meningkat daripada 5 orang calon wanita pada pilihan raya 2018 kepada 16 orang calon wanita pada tahun ini.
“15 wanita daripada pelbagai parti ini akan bertanding di 12 kerusi berbeza daripada 28 kerusi di Melaka”, tambahnya lagi dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.
Tambah ahli parlimen Ampang itu lagi, walaupun bilangan calon wanita telah meningkat, COMWEL menyatakan bahawa 15 calon wanita hanya membentuk 13.5% daripada jumlah calon yang diletakkan. Ini masih jauh daripada sasaran 30% yang bertujuan untuk memperkasakan wanita dalam politik.
Dalam PRN Melaka tahun ini, Bersatu, PAS dan Gerakan mempunyai bilangan calon wanita tertinggi iaitu 40% daripada jumlah calon wanita; diikuti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing menyumbang 27%; dan lain-lain, 6%. – PPI
kredit foto: FB Zuraida Kamaruddin