Artikel | Koko dan hal-hal global
Bukan hanya makanan, coklat atau koko merupakan gaya hidup. Jenama-jenama coklat popular seperti Kit-Kat, Mars, Toblerone Cadbury dan Ferrero Rocher adalah tidak asing lagi bagi penggemar coklat di Malaysia dan serata dunia.
Berasal dari benua Amerika beriklim tropika, koko atau nama lainnya, Theobroma cacao menjadi lebih elegan apabila pastri Eropah terpengaruh dengan rasa seksi coklat.
UK menjadi negara penggemar coklat terbesar dunia dengan purata penggunaan tahunan per kapita sebanyak 11.5 kg manakala Amsterdam merupakan pelabuhan koko terpenting dunia, 500,000-600,000 tan koko melalui pelabuhan itu setiap hari.
Bagi mereka yang tidak tahu, Malaysia juga sangat dekat dengan coklat. Beryl’s chocolate dan Vochelle adalah produk coklat jenama Malaysia. Beryl’s Chocolate telah ditubuhkan pada tahun 1995 dengan menggunakan koko dari Ghana. Pengasasnya merupakan seorang penduduk peribumi dari Sarawak dan ia mempunyai lebih 70 jenis coklat termasuk perisa durian dan cili.
Vochelle atau pengeluar minuman coklat, Vico juga syarikat milik Malaysia yang pesat berkembang dalam pengilangan, penjualan dan pemasaran dalam industri makanan dan minuman. Ibu pejabat dan kilangnya bertapak di Pulau Pinang namun Pejabat Jualan dan Pemasarannya berada di Petaling Jaya. Maestro Swiss juga merupakan pengeluar minuman Vico.
Industri koko di Malaysia bukan sebuah kebetulan. Lembaga Koko Malaysia (Malaysian Cocoa Board) menjadi badan persekutuan yang bertanggungjawab untuk memastikan industri koko di Malaysia sentiasa membangun, berintegrasi dan berdaya bersaing di peringkat global.
Natijahnya, Malaysia adalah pengisar koko terbesar di peringkat Asia dan yang kelima terbesar di peringkat dunia, di belakang Belanda, Cote d’Ivoire, Jerman dan Amerika Syarikat dengan jumlah keseluruhan ladang koko di Malaysia adalah kira-kira 18,000 hektar.
Syabas Lembaga Koko Malaysia! – PPI
oleh: Ahmad Roi
kredit foto: Mstar