Artikel | Kenapa tanaman ini jadi tanaman yang dibenci di Amerika dan Eropah?
Pokok sawit sebenarnya asal bukan di Malaysia. Kalau ikutkan pada rekod sejarahnya, sawit mula diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1914 oleh orang Perancis, Henri Fauconnier. Beliau membawa masuk benih sawit ini daripada Sumatera dan tanaman pertama dilakukan di Rantau Panjang, Kuala Selangor.
100 tahun pun berlalu, kini tanaman sawit di Malaysia sudah pun menjadi tanaman komersial yang diusahakan oleh entiti-entiti yang terdiri daripada syarikat besar, pekebun kecil dan persendirian.
Satu hari, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat tiba-tiba lancarkan ‘perang’ memboikot minyak sawit Malaysia dengan alasan aktiviti perladangan sawit memusnahkan hutan dan menyebabkan pembakaran hutan secara besar-besaran.
Sedangkan di Malaysia, pemain industri sawit termasuk syarikat dan pekebun-pekebun kecil majoriti telah pun sah berdaftar dengan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Skim pensijilan yang disokong oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ini sendiri berjaya mengumpulkan pekebun-pekebun kecil melalui Kelompok Pensijilan Minyak Sawit Mampan (SPOC) agar kesemua pemain industri sawit menjalankan aktiviti perladangan secara mampan dan lestari.
Mungkin disebabkan mekanisma pensijilan yang terbaik ini, ada pihak-pihak yang cemburu atau mungkin saja kerana sifat pokok sawit itu sendiri.
Pokok sawit berupaya untuk mengeluarkan hasil buah sawit selama 25-30 tahun. Secara ekonominya, tanaman sawit adalah satu ‘business plan’ jangka masa panjang, menguntungkan dan mampu untuk memenuhi permintaan global tanpa sebarang kerisauan tentang terputus bekalan hasil sawit.
Tidak seperti tanaman soya yang diusahakan di Amerika Syarikat dan Eropah, ladang sawit juga boleh diintegrasikan dengan tanaman lain seperti tanaman nenas dan soya. Boleh jadi mungkin ini yang merisaukan sesetengah pihak yang berkepentingan.
Tanaman sawit terbukti merupakan salah satu tanaman versatil yang mesra dengan aktiviti tanaman yang lain. Pekebun-pekebun kecil dan persendirian juga secara tak langsung dapat menambahkan lagi pendapatan mereka dan dapat mewujudkan satu ekosistem perladangan sawit yang harmoni.
Natijahnya, tanaman sawit merupakan sumber pendapatan penting untuk negara.
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin juga meletakkan sasaran nilai eksport sawit Rm81.5 billion untuk tahun 2021.
Pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi menangkis persepsi negatif seterusnya memastikan industri sawit negara turus utuh dan mampan demi alam sekitar yang lebih baik. – PPI
kredit foto: Felda Kumai