Berita | Ada restoran sudah mula naikkan harga makanan

Persatuan yang mewakili pengusaha makanan berhasrat menaikkan harga makanan dan minuman tahun depan berikutan kos bahan mentah dan barangan yang melambung tinggi.

Sesetengah restoran sedia ada telah pun menaikkan harga makanan dan minuman sebanyak 10 peratus.

Walaupun belum ada keputusan mengenai kadar kenaikan, pengusaha restoran berkata kenaikan harga tidak dapat dielakkan kerana mereka tidak dapat menampung kenaikan kos.

Persatuan Pengusaha Muslim Malaysia (Presma), yang mewakili 9,000 restoran, berkata sesetengah mereka mencadangkan kenaikan harga 10 peratus bagi setiap menu untuk menampung kenaikan kos 30 peratus harga barang.
Presidennya Jawahar Ali Taib Khan berpendapat kedai makan di Lembah Klang dan di lokasi utama mungkin perlu menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 20 sen di rangkaian kedai makan India Muslim.

Ia membabitkan makanan kegemaran rakyat Malaysia, iaitu teh tarik, Milo, nasi lemak, roti canai, thosai, capati dan mee goreng.

“Kami telah dapat mengekalkan harga selama lebih tiga tahun. Presma mungkin satu-satunya persatuan yang meminta ahlinya tidak menaikkan harga mereka sehingga 30 Dis.

“Tetapi yang pasti kami akan mengenakan kenaikan menjelang tahun depan, pada kadar yang munasabah. Kami akan minimumkan kenaikan kami,” kata Jawahar.

Tegasnya ia bukan untuk mencari keuntungan berlebihan, sebaliknya untuk menampung peningkatan kos yang begitu ketara.

“Walaupun kami mengenakan bayaran RM2.50 untuk sekeping roti canai, kami tidak dapat untung banyak kerana kami menyediakan kuah atau kari dhal bersamanya,” katanya lagi.

Isu kenaikan harga akan dibincangkan dalam perhimpunan agung tahunan Presma Rabu depan.

Jelasnya Presma juga telah menulis surat kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi untuk mendapatkan temu janji dan mendapatkan nasihat daripada kementerian itu.

Dilaporkan bulan lepas beberapa syarikat, termasuk Nestlé (Malaysia) Bhd dan Fraser & Neave Holdings Bhd telah menaikkan harga runcit produk tertentu ketika ekonomi kembali rancak ekoran sekatan akibat Covid-19.

Dalam pada itu, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) yang mewakili 1,500 ahli percaya ada antara ahlinya telah menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual di premis mereka.

“Harga bahan dan barangan yang kami beli meningkat 50 hingga 100 peratus,” kata naib presiden Primas C Krishnan.

Dia menyifatkan kenaikan mendadak harga barangan disebabkan oleh barangan import yang lebih mahal disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global sejak pandemik Covid-19. – MalaysiaKini

oleh: Kow Gah Chie

kredit foto: Utusan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: