Berita | GPS jamin kekalkan keharmonian, kestabilan politik Sarawak
KOTA SAMARAHAN- Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan untuk sentiasa mengekalkan keharmonian dan kestabilan politik, sekali gus mewujudkan kemakmuran, di negeri ini.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Fadillah Yusof berkata, perkara ini penting menjadi teras agenda pembangunan negeri dan menyediakan kemudahan serta sumbangan kepada rakyat.
“Hal yang demikian adalah kerana apabila situasi ini tidak tercapai, segala perancangan untuk membangunkan negara akan terjejas dan begitu juga pelaksanaan program yang ditetapkan.
“Seperti yang kita lihat apa yang berlaku di Semenanjung sebelum ini yang akhirnya fokus ke arah pembangunan mula terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mendengar taklimat rancangan tebatan banjir kawasan Kuching dan Kota Samarahan, di Auditorium Jabatan Pengairan dan Saliran, di sini pada Sabtu.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sehubungan itu, penting untuk kerajaan mewujudkan kemakmuran di Sarawak dalam meneruskan program bantuan dan pembangunan. – Sinar Hariano
oleh: Abdul Samad Ali
kredit foto: Bernama