Berita | Diskaun saman trafik dilanjutkan, orang ramai lega masih ada masa

SHAH ALAM – Orang ramai dapat menarik nafas lega apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad memaklumkan bahawa tempoh pemberian diskaun saman trafik yang sepatutnya berakhir pada 12 Disember akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Semenjak tawaran diskaun bersempena dengan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 hingga 12 Disember itu diumumkan, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melunaskan segala jenis saman yang sudah lama tertunggak.

Bagaimanapun dalam tempoh empat hari tersebut, timbul pelbagai rungutan dalam kalangan rakyat yang menghadapi kesukaran untuk membayar saman sama ada di kaunter trafik seluruh negara mahu pun secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman.

Susulan sambutan luar biasa itu, PDRM mengumumkan tawaran diskaun bagi kesalahan trafik melibatkan kesalahan terpilih hingga 80 peratus dengan had minimum RM30 akan dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Pastinya tempoh lanjutan itu disambut baik oleh rakyat dan rata-rata menzahirkan kegembiraan mereka dalam media sosial masing-masing.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelanjutan itu bagi mengelakkan kesesakan ketika orang ramai membuat bayaran dan dapat memberi peluang serta masa kepada orang ramai untuk membuat pembayaran.

Dalam pada itu, beliau menyatakan pihaknya menyedari kesesakan trafik ke atas aplikasi MyBayar Saman susulan jumlah pengguna yang meningkat sepanjang tempoh pengurangan tersebut dilaksanakan.

Dalam masa sama, beliau turut mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melihat keperluan untuk menambah kaunter pembayaran jika jumlah pembayar saman meningkat.

Ini susulan keadaan di balai polis seluruh negara yang masih dipenuhi dengan orang ramai yang ingin membayar saman.

Dalam tempoh empat hari pelaksanaan diskaun saman trafik bermula Khamis lalu, PDRM telah mengutip sebanyak RM109 juta.

Acryl Sani berkata sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 2.3 juta saman trafik telah diselesaikan di seluruh negara.

Walaupun masih ada masa sehingga tamat tempoh diskaun saman, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melengah-lengahkan proses pembayaran.

Penambahaikan dari segi proses pembayaran yang akan dilaksanakan oleh PDRM juga diharapkan dapat memudahkan urusan setiap individu untuk melunaskan saman mereka. – Sinar Harian

oleh: Nur Iftitah Roslan

kredit foto: PortalKini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: