Berita | Kompleks Kluster Koko Sarawak pemacu industri koko negara – Zuraida
Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah siap membina sebuah Kompleks Kluster Koko Sarawak di Kota Samarahan, Sarawak untuk memajukan lagi industri koko negara.
Kompleks yang dibina bernilai RM4.6 juta itu bukan sahaja menjadi fasiliti kajian penghasilan coklat yang berkualiti, malahan turut menjadi tempat memproses dan menuai coklat yang ditanam.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan pembukaan Kompleks Kluster Koko Sarawak yang pertama pagi tadi berkata, “kompleks ini adalah salah satu komponen dalam program Pembangunan Kluster Koko yang merupakan ‘game changer’ yang mampu memberi manfaat kepada semua pemain industri dibawah rangkaian koko”.
Beliau juga berharap pembinaan Kompleks Kluster Koko Sarawak ini akan memacu kemajuan industri koko negara untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
“Dengan terbinanya kompleks ini, kementerian berharap pembangunan industri koko di Sarawak akan meningkat dan menyumbang kepada kesejahteraan keluarga Malaysia.“
Tambahan lagi, Kompleks Kluster Koko Sarawak ini juga dibina berkonsepkan model ‘dari ladang ke meja makan’ atau ‘daripada biji menjadi coklat’ untuk meningkatkan lagi potensi penghasilan produk hiliran yang pastinya akan membantu pengusaha dan pemain industri koko negara. – PPI
oleh: Megat Hakim