Berita | Piala Suzuki AFF: Malaysia akur dengan kehebatan Vietnam

Skuad negara terpaksa akur dengan kehebatan Vietnam apabila tewas 0-3 dalam perlawanan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Kekalahan itu turut menolak Malaysia ke tangga ketiga walaupun terikat enam mata dengan Vietnam dan Indonesia — kedua-duanya berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Jaringan Nguyen Quang Hai, Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Hoang Duc sudah cukup untuk membuktikan betapa pasukan bimbingan Park Hang-seo itu berada di tahap berbeza berbanding barisan negara kendalian Tan Cheng Hoe — setidak-tidaknya untuk pertemuan kali ini.

Skuad negara kelihatan gugup dengan reputasi besar pasukan di ranking ke-99 dunia itu dan kelihatan lebih gemar bertahan sejak awal permainan.

Akibatnya, kapten negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mengalami kecederaan paha pada minit ke-24 dan terpaksa digantikan dengan Dominic Tan, yang kelihatan agak goyah bergandingan dengan Shahrul Saad di posisi benteng negara.

Hanya berselang lapan minit selepas ketiadaan Aidil Zafuan, Vietnam akhirnya memperoleh gol pembukaan apabila hantaran ‘cut back’ Hoang Duc menemui Quang Hai untuk penyerang berusia 24 tahun itu menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, dengan satu rembatan deras.

Malaysia memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila kesilapan hantaran pertahanan lawan jatuh tepat ke kaki Luqman Hakim Shamsudin tetapi penyerang KV Kortrijk itu tidak memiliki ketenangan dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, Tran Nguyen Manh, untuk sepakannya tersasar keluar.

Naga Emas menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-36 apabila Cong Phuong mempamerkan kemahiran individu menarik di dalam kotak penalti untuk memperdayakan Dominic dan seterusnya menggegarkan jaring Khairul Fahmi dengan sepakan leretnya.

Cheng Hoe memasukan Guilherme De Paula dan Kogileswaran Raj pada awal babak kedua dan ia sedikit-sebanyak membantu usaha Harimau Malaya dalam merapatkan kedudukan.

Namun, dalam pada skuad negara berusaha keras mencari jaringan pertama, Hoang Duc mempamerkan gerakan solo dari sebelah kanan untuk melengkapkan malam gemilang Vietnam dengan gol ketiga buat pasukan juara bertahan itu.

Dengan kekalahan itu, Malaysia tiada pilihan selain menewaskan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Ahad depan untuk melayakkan diri ke separuh akhir. – Astro

oleh: Muzaffar Musa

kredit foto: AFF

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: