Artikel | Makanan cinta buat keluarga Malaysia
Profesor Sejarah Makanan, Rebecca Earle kata, sejarah coklat sebagai lambang cinta bermula pada abad ke-19, era Ratu Victoria. Kemudian, pada 1861 setelah Cadbury menghasilkan coklat yang diletakkan dalam kotak berbentuk hati dengan hiasan cupid dan kelopak mawar, masyarakat England mula melihat coklat sebagai lambang kasih.
Ketika zaman Aztec lagi biji koko yang bercampur madu telah digunakan sebagai hadiah berharga isyarat cinta. Di Jepun, coklat dan hubungan manusia menjadi tradisi ratusan tahun. Setiap 14 Mac yang dipanggil White Day, bujang Jepun akan memberikan coklat putih kepada perempuan yang dia berkenan.
Coklat jadi coklat bukan hanya kerana sejarah. Dengan kandungan asid Valeric, coklat mampu mengalirkan hormon endorphin, menjadikan si pemakannya tenang. Ditambah dengan baunya yang wangi dan berat menambahkan lagi kesan tenang.
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam sejarah makanan cinta ini. Malaysia menjadi hub perdagangan koko dalam menyokong pembangunan Cocoa Nexus di Iskandar Malaysia bagi membangunkan kemudahan seperti gudang, inkubator dan pusat borong secara bersama.
Hub ini menghubungkan tiga syarikat pemprosesan tempatan dan antarabangsa, 12 syarikat coklat dan 23 usahawan coklat, hub ini yang berkapasiti mengisar sebanyak 300,000 tan biji koko kering ini bernilai RM816 juta.
Dengan jangkaan capaian eksport sebanyak RM10 bilion, pasti ekosistem industri ini berupaya meningkatkan taraf hidup usahawan coklat, petani koko dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, inilah sebenar-benar cinta. – PPI