Berita | Mahu teruskan tradisi pakai ruyang, rasung

Padawan: Perasaan ingin mempertahankan budaya tradisi kaum Bidayuh di Kampung Semban, di sini, mendorong, seorang wanita tempatan untuk memakai perhiasan tradisi masyarakat itu sejak tiga tahun lalu.

Anet Unggom, 49, mula memasang niat untuk memakai ruyang (sebutan luyang) di lengan dan rasung (sebutan lasung) di kaki selepas melihat lima wanita di kampung berkenaan memakai perhiasan tradisional itu.

Katanya, sebelum ini, ada lima wanita di kampung berkenaan memakai perhiasan itu yang diperbuat daripada tembaga sebelum dua daripada mereka meninggal dunia.

“Saya mula memakai perhiasan itu untuk mengetahui sama ada pemasangannya menyakitkan atau tidak sebelum membuat keputusan untuk terus memakai luyang dan lasung.

“Selepas memasangnya, saya langsung tidak ada rasa sakit dan terus tekad untuk memakai perhiasan itu bagi menyambung tradisi masyarakat Bidayuh di kampung ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Semban, di sini.

Anet berkata, beliau mengambil masa beberapa jam untuk memasang sendiri rasung seberat 2.4 kilogram setiap satu di bahagian kakinya.

“Pemasangan ruyang seberat 250 gram setiap satu lebih sukar dan mengambil masa kerana saya hanya menggunakan sebelah tangan untuk memasangnya sendiri.

“Ruyang itu saya dapat hasil pemberian kakak ipar yang turut memakai perhiasan ini, manakala rasung pula dibeli pada harga RM380 setiap satu di sebuah kedai perkakas di Kuching,” katanya.

Menurutnya, beliau amat berbangga dapat meneruskan tradisi masyarakat Bidayuh di kampung berkenaan dengan memakai perhiasan itu termasuk rantai leher diperbuat daripada manik yang dihasilkannya sendiri.

“Anak dan cucu saya menyokong saya memakai perhiasan ini, namun mereka sendiri memaklumkan tidak mahu memakai ruyang dan rasung.

“Bagaimanapun, saya bertekad untuk terus memakai perhiasan ini sampai bila-bila dalam usaha untuk mempertahankan tradisi ini di Kampung Semban,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi wanita tempatan yang mengamalkan pemakaian ruyang dan rasung di kampung itu, Cingai Nikal, 69, berkata, beliau gembira ada wanita yang mahu meneruskan tradisi terbabit.

“Saya sudah memakai perhiasan ini sejak berusia 13 tahun. Apabila saya pergi ke mana-mana bersendirian, saya rasa orang lain pandang saya pelik kerana hanya saya seorang memakai seperti ini (ruyang dan rasung).

“Jika lebih ramai wanita yang memakai perhiasan ini, pastinya saya seronok kerana tidak ada rasa janggal kerana dilihat pelik oleh orang lain semasa berada di tempat umum,” katanya ketika ditemui di Kampung Semban, di sini.

Menceritakan semula pengalamannya, Cingai berkata, beliau mula memakai ruyang dan rasung selepas melihat kakaknya memakai perhiasan itu.

“Selepas lebih 50 tahun, saya tidak pernah ada rasa sakit memakai perhiasan ini. Sepanjang tempoh itu juga, hanya ada beberapa kali saya membukanya kerana demam tetapi akan terus memasangnya semula sebaik sembuh.

“Saya juga merasa bertuah apabila kerap kai dibawa pergi ke ekspo budaya di Kuching, Miri dan Semenanjung selain ke luar negara iaitu di Itali sebelum ini,” katanya. – Harian Metro

oleh: Nurul Hidayah Bahaudin

kredit foto: Aizuddin Saad/Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: