Berita | Macam mana nak selesai ni?
Kuala Lumpur: Tanpa bersarung tangan, penyelidik alam sekitar Wong Pui Yi menyelongkar longgokan bendela sisa buangan plastik kotor dan berhabuk ditinggalkan di rumah kedai di Kawasan Perindustrian Pulau Indah di Klang, Selangor.
Terdiri daripada campuran sisa plastik dan kertas, sesetengah bendela tersebut masih ada label produk. Satu daripada label dalam bahasa Belanda tentang makanan dan beralamat di Afrika Selatan. Longgokan sisa buangan memenuhi segenap ruang premis antara satu daripada beberapa timbunan sampah di kawasan terbabit.
“Ini bahan buangan campuran diimport. Barangkali sudah ada di sini sejak 2018 atau 2019. Dulu cukup mudah bawa masuk sisa buangan ini, sekarang lebih sukar,” jelasnya.
Selepas China menghentikan pembelian hampir semua sisa plastik pada Januari 2018, Malaysia menjadi destinasi popular penyeludup bahan buangan. Menurut kerajaan dan juga statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia mengimport lebih 850,000 tan sisa plastik pada tahun itu dengan sebahagiannya dibuang begitu saja manakala yang laindibakar di kilang kitar semula beroperasi secara haram atau ditinggalkan terbiar.
Malaysia memperketat peraturan kebenaran mengimport, meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di pelabuhan, memulangkan berdozen kontena membawa ‘plastik kotor’ ke negara asal dan mengambil tindakan tegas terhadap kilang kitar semula tidak berlesen. Akan tetapi, selepas tiga tahun, negara masih lagi bergelut untuk ‘membuang’ sampah dibawa masuk sebelum ini.
Wong yang merupakan penyelidik tadbir urus plastik Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, ada banyak sebab sisa buangan ditinggalkan terbiar.
Antaranya ialah sesetengah sampah tidak boleh dikitar semula kerana merupakan campuran tercemar dengan sisa buangan perbandaran, disifatkan sebagai ‘plastik kotor.’ Contoh ‘plastik kotor’ ialah bekas plastik diperbuat daripada plastik kitar semula yang mempunyai sisa makanan.
Sebab lain ialah pemilik melarikan diri atau premis tersebut pernah dijadikan lokasi mengasingkan sisa plastik namun ditinggalkan apabila operasi kilang haram berdekatan ditutup.
“Sesetengah plastik ini terurai menjadi plastik mikro, dibawa air dan dimakan oleh kita,” kata Wong sambil menuding jari ke arah anak sungai yang mengalir berhampiran tapak pembuangan itu.
“Masalahnya sekarang bagaimana nak bersihkan,” tambah beliau.
Menurut pegawai di Majlis Perbandaran Klang (MPK), di kawasan itu sahaja ada empat tapak pembuangan sisa dan 1,600 lot dengan beberapa kilang haram beroperasi.
“Dah bawa barang salah, tentulah dibuang sesuka hati,” kata Zaireezal Ahmad Zairuddin daripada Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK.
Pakar pengurusan sisa Prof Dr P Agamuthu daripada Sunway University menyimpulkan situasi itu sebagai modus operandi syarikat yang membawa masuk sampah secara haram, selalunya dengan memalsukan dokumen atau melabelkan secara salah jenis sisa.
“Apabila mereka dapati 70 dan 80 peratus bahan tersebut tidak berbaloi dikitar semula, mereka akan buang, sebab kalau mereka bawa ke tapak pelupusan sampah mereka perlu bayar tip,” jelas beliau.
Pengusaha kitar semula plastik Datuk Johnson Yoon yang bersetuju dengan pandangan itu berkata, ramai operator kitar semula tidak berlesen meninggalkan sisa terbabit kerana proses kitar semula kompleks dan mahal.
“Jika JAS (Jabatan Alam Sekitar) panggil saya dan suruh saya bersihkan sisa buangan di Pulau Indah, saya juga sakit kepala,” katanya.
Plastik memberi kesan jangka panjang hingga ke masa depan. Ini kerana plastik tidak mendegradasi (terurai) selain hanya boleh dikitar semula untuk beberapa kali sahaja.
Menurut Bank Dunia, 1.82 bilion tan sisa pepejal domestik dihasilkan dunia setahun. Menjelang 2050, sisa ini dijangka meningkat kepada 3.08 bilion tan setahun.
Penyselidik Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mageswari Sangaralingam pula berkata, berikutan kewujudan lebihan sisa plastik, ramai pelabur asing datang dan mengoperasikan pusat kitar semula bagi menangani isu sampah terbabit.
“Ramai buat secara haram kerana untuk menubuhkan kemudahan berlesen, anda perlu lalui pelbagai proses bagi mendapatkan semua permit dan lesen, semua ini mengambil masa,” katanya.
Yoon yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) mengimbas kembali tempoh berkenaan dengan penuh rasa marah. Katanya tindakan operator haram terbabit memburukkan nama pengitar semula yang berlesen.
“Kami hentikan terus operasi. Jadi, anda boleh tengok sendiri betapa teruknya kesan ke atas pengitar semula berlesen… memang serius. Kami rugi besar,” ujarnya.
Tambah Yoon, sebelum ini masyarakat memandang pengitar semula dalam konteks positif namun kini setiap kali ada laporan media tentang sisa plastik import, akan ada komen negatif selain kejian menyusul.
“Kami (penggiat) industri kitar semula. Orang panggil kami sebagai ‘orang sampah’ disebabkan kilang haram terbabit. Kami ‘sampah’,” kata Yoon.
Malaysia bertindak balas terhadap limpahan sisa buangan dengan mengetatkan peraturan berhubung siapa yang boleh mengimport menerusi 19 kriteria yang perlu dipenuhi sebelum mereka boleh diberikan lesen. Selain itu, kontena membawa sisa buangan khusus perlu diimbas di samping tindakan keras diambil terhadap kilang kitar semula haram.
Di sebalik tindakan tegas kerajaan, impak limpahan sisa plastik dibawa masuk pada 2018 dan 2019 masih dirasai dan akan terus dirasai untuk satu tempoh yang akan datang.
Mageswari yang juga Setiausaha Kehormat SAM memberi amaran isu operator haram belum berakhir dan orang ramai harus terus berwaspada bagi memelihara alam sekitar. Sesetengah operator terbabit masih berada di Malaysia.
“Apabila kerajaan ambil tindakan di Selangor, operasi kilang dipindahkan ke tempat lain,” katanya.
Masalah sampah ini bukan setakat ditinggalkan terbiar di Pulau Indah dan tapak lain. Ini kerana 17,000 tan plastik ditemui di Jenjarom sebelum ini masih tertanam di sana.
Bernama menyertai sekumpulan aktivis tempatan melawat tapak pembuangan haram dan kilang kitar semula. Menurut aktivis masyarakat Tan Ching Hin, pemilik tanah tidak mengalihkan sisa plastik sebelum menanam rumput di kawasan itu. Tertanam jauh di dalam tanah di situ ialah cebisan pembungkusan plastik bersertakan arahan dalam bahasa Sepanyol.
Tidak banyak boleh dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap saki-baki sisa buangan plastik di Jenjarom. Namun mereka bertanggungjawab mengalihkan dan membersihkan premis.
“Banyak kes kita bersihkan. Tapi isunya, kadang-kadang orang ambil kesempatan,” kata Zaireezal yang merupakan Pengarah Perkhidmatan Persekitaran MPK.
Beliau menganggarkan kos mengalihkan, melupuskan dan membersihkan sisa plastik sekitar RM10,000 bagi 30,000 tan. Ia kos yang tinggi, justeru, mereka tidak mampu melakukannya dengan kerap.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor Ng Sze Han dalam e-melnya kepada Bernama berkata, orang awam harus membuat aduan kepada pihak berwajib jika mereka mengesan pelanggaran undang-undang alam sekitar.
“Kerajaan negeri ini tidak membenarkan sisa buangan ditinggalkan terbiar,” katanya.
Mengulas lanjut, Ng berkata, kerajaan Selangor berulang kali menegaskan tidak menyokong dasar membenarkan import sisa plastik.
“Pendirian kami setiap negara harus bertanggungjawab terhadap sisa buangan mereka,” tegas Ng.
Pihak kerajaan pula berkata, undang-undang sedia ada sudah memadai kerana mereka tidak boleh menghentikan terus pengimportan sisa plastik berikutan permintaan industri kitar semula tempatan yang mahukan sisa plastik industri, bukan sisa plastik perbandaran/domestik. Menurut Bank Dunia, industri itu menyumbang AS$7.23 bilion kepada ekonomi negara pada 2018.
Apa juga haluan yang diambil negara pada masa depan, paling penting ialah mengambil kira kesan plastik terhadap semua aspek kehidupan manusia. – Bernama
kredit foto: NU Sumenep