Berita | Inisiaitif bantu pendidikan kanak-kanak etnik Palauh

KOTA KINABALU: Badan pemikir bebas, Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa), bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Sabah untuk melihat keperluan pendidikan kanak-kanak etnik minoriti Bajau Laut atau Palauh di negeri ini.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak melaksanakan program dua hari untuk mendekati etnik berkenaan, termasuk melawat tiga PPMI di Kampung Kabog dan Kunak 3 di daerah Kunak serta Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum di Semporna, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin, berkata program itu disertai 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru PPMI.

Katanya, program itu memberi peluang untuk penyelidik melihat dengan lebih dekat masalah dihadapi komuniti minoriti berkenaan, khususnya membabitkan aspek pendidikan.

“Kumpulan kanak-kanak Palauh menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

“Bagaimanapun di sebalik kekurangan itu, mereka menunjukkan minat dan semangat tinggi untuk belajar, terutama ilmu asas membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azril berkata, hubungan baik Institut Masa dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah seperti Haluan, memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti itu.

Katanya, ia termasuk menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada pelajar, selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI.

Beliau berkata, Institut Masa juga akan meningkatkan kerja penyelidikan berkaitan hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir, selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri ini sebagai ‘sekolah angkat.’

“Program ini juga adalah sebahagian daripada usaha membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan memberi fokus kepada hak pendidikan untuk semua kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi, berkata pusat pendidikan itu bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada 2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

Dalam lawatan sama, Institut Masa turut menyumbang barangan keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI terbabit.

Etnik Palauh yang menghuni kawasan perairan pantai timur Sabah adalah antara golongan masih tercicir berikutan status mereka yang kebanyakannya tiada kewarganegaraan atau tiada dokumen pengenalan diri.

oleh Izwan Abdullah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: