Artikel | Kesepaduan pelbagai bangsa aset mahal Malaysia berdepan bencana
Rakyat Malaysia sudah buktikan, kalau kita bersatu tanpa mengira beza bangsa, kita menang!
Sebuah video di youtube sangat mengharukan. Seorang kakak India yang merupakan mangsa banjir menceritakan pengalaman cemasnya apabila air mulai naik dan kejiranan di sana terputus barang makanan.
“Kami di kawasan kejiranan berbilang bangsa termasuk jiran Bangladesh dan Indonesia saling bekerjasama memasak di atas bumbung ketika air sudah naik tinggi dan bekalan makanan putus”, cerita kakak itu.
“Banjir ini menunjukkan sikap saling kerjasama tak kira Melayu, Cina, India untuk saling tolong-menolong”.
Kata kakak itu lagi, setiap dari mereka walaupun berlainan bahasa dan agama, namun sepakat dan memainkan peranan masing-masing menyediakan bekalan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kalau mereka boleh bersama di atas bumbung untuk saling sepakat memasak, mengapa kita semua rakyat Malaysia berbilang bangsa tidak boleh duduk bersama berpadu di bawah satu bumbung, melampaui politik kepartian yang kian menebal perkaumannya.
Tujuan berpadu dalam kepelbagaian dan perbezaan tidak lain tidak bukan, agar Malaysia lebih holistik dan fleksibel dalam era Revolusi 4.0 tanpa meminggirkan mana-mana kaum, termasuk kaum wanita dan kaum muda.
Jelas, kesepaduan pelbagai kaum aset mahal Malaysia berdepan sebarang bencana, sama ada bencana alam mahupun bencana politik. Khalas! – PPI
oleh: Rumi Rahman