Artikel | Saya Sophia, sukarelawan Misi Pasca Banjir ‘Saya, Kita, Kamu, Kami’ Bangsa Malaysia
Bagaikan 1998, era Soeharto, mendengar bait kata Rendra dan Widji sahut-sahutan di tengah kerumunan mahasiswa Gadjah Mada, begitulah analogi apabila ditanya apa perasaan saya pagi itu – Sophia, Sukarelawan Misi Pasca Banjir Bangsa Malaysia.
Perintah berkurung mengajar saya untuk menikmati anugerah bebas keluar. Setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan, industri mula beroperasi, saya mula berfikir, bagaimana saya perlu aktif di luar – memanfaatkan anugerah kebebasan itu tadi.
Setelah berhadapan pandemik, kita bertemu dengan banjir pula. Dipendekkan cerita, kali ini saya dengan beberapa kawan terlibat dengan misi banjir, buat pertama kali.
Gemuruh jiwa, semangat membara. Awal pagi kami sudah di Dataran Shah Alam. Mata kuyu kami segar semula apabila melihat lebih 300 sukarelawan berkumpul bersama menjayakan misi ini.
Misi selama dua hari ini akan dijalankan di lima kawasan bermula dari Klang, Kapar, Kota Raja dan esoknya di Hulu Langat dan Shah Alam. Begitulah arah Ketua Koordinator misi banjir Muhammad Shazlee Muhammad Nazlee.
Bencana tidak mengenal warna kulit, jantina mahupun usia. Semuanya menjadi mangsa. Melihat keadaan selut dan lumpur merata tempat membuatkan saya lebih bersyukur.
Dalam perjalanan pulang, saya terfikir memang sangat wajar tertubuhnya platform untuk semua kaum, kerana bencana tidak kenal warna kulit.
Hari ini kami turun lagi. Sampai sini dulu dari saya, Sophia, Sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir Bangsa Malaysia. – PPI
oleh: Sophia Eden