Berita | Paras air Sungai Langat melebihi tahap amaran
Kajang: Paras air Sungai Langat di bandar ini sudah melebihi tahap amaran setakat 6.30 petang tadi.
Menurut laporan dari laman web publicinfobanjir.water.gov.my, tahap amaran bagi Sungai Langat di kawasan itu adalah 26.3 meter.
Selain itu, Sungai Langat di Taman West Country, di sini, juga melebihi 0.3 meter dari tahap amaran.
Sungai Langat di dua kawasan berkenaan juga menunjukkan trend menaik.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang memaklumkan keadaan di beberapa lokasi dinaiki air petang ini sudah surut.
“Trend hujan lebat dalam tempoh dua jam sering menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa lokasi di Kajang.
“Namun bomba terus berada dalam keadaan bersiap sedia dan terus memantau keadaan semasa,” katanya.
Petang tadi beberapa lokasi di daerah ini dilanda banjir susulan hujan lebat sejak 4 petang.
oleh: Ekhwan Haque Fazlul Haque
kredit foto: Ilham Media