Berita | Pesakit COVID-19 varian Omicron penuhi hospital AS – Biden
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata beberapa hospital di negara itu akan dipenuhi oleh pesakit COVID-19, namun negara itu secara amnya sudah bersedia menghadapi lonjakan terbaru dan rakyatnya diminta tidak panik.
Biden bercakap demikian ketika varian Omicron COVID-19 semakin merebak dengan pantas sehingga mengganggu kesibukan syarikat penerbangannya mengurus musim percutian Krismas , mendorong Penasihat Perubatan Rumah Putih, Anthony Fauci mencadangkan syarat vaksin bagi perjalanan udara domestik mungkin diperlukan.
“Saya fikir itu sesuatu serius yang harus dipertimbangkan,” katanya kepada MSNBC.
Dalam mesyuarat maya dihoskan Rumah Putih dengan beberapa gabenor negeri dan penasihat kesihatan tertinggi, Biden menegaskan varian Omicron tidak akan mempunyai kesan sama seperti wabak awal COVID-19 pada 2020 atau lonjakan Delta tahun ini.
“Kita bimbang mengenai lonjakan kes akibat varian Omicron, namun ia tidak sepatutnya menjadi perkara yang mencetuskan panik,” katanya.null
Ujian saringan akan diadakan secara lebih meluas dan vaksinasi besar-besaran dilakukan bagi memastikan jangkitan kepada orang ramai tidak membawa kepada gejala lebih serius.
“Oleh kerana terdapat begitu banyak vaksinasi dan dos penggalak, kami tidak melihat kemasukan ke hospital meningkat seperti yang mereka alami sebelum ini.
“Rakyat AS, negara ini sudah mencapai kemajuan. Keadaan lebih baik. Namun, dengan peningkatan kes, kita masih mempunyai berpuluh juta orang yang tidak divaksinasi dan kita melihat kemasukan ke hospital meningkat,” katanya.
Biden mengakui biarpun kapasiti ujian saringan ditingkatkan, ia jelas belum mencukupi.
“Melihat betapa sukarnya beberapa individu untuk melakukan ujian saringan hujung minggu ini, menunjukkan banyak lagi kerja perlu kami dilakukan,” katanya.
Biden berkata, selain menambah lokasi ujian saringan percuma, pemerintah juga akan membekalkan 500 juta kit ujian ke rumah rakyatnya tidak lama lagi.
“Namun jika kita tahu, kita akan bergerak lebih kuat, lebih cepat. Kita perlu melakukan lebih banyak lagi,” katanya.
AS sudah merekodkan jumlah kematian disebabkan wabak berkenaan paling tinggi di dunia, dengan lebih 816,000 kematian yang direkodkan dan 52 juta kes positifnya. -AFP
kredit foto: The New Yorker