Berita | Mangsa banjir meningkat di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Johor, Melaka dan Negeri Sembilan terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala tiga lagi negeri pula mencatat penurunan, setakat petang tadi.

Di Johor, mangsa banjir meningkat kepada 1,080 orang (271 keluarga) hingga jam 4 petang tadi, berbanding 658 orang (192 keluarga) pada tengah hari, dengan Tangkak menjadi daerah terkini terjejas bencana itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata semua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat dan Tangkak.

“Terdapat pertambahan 10 PPS lagi membabitkan sembilan di Segamat dan satu di Tangkak. PPS baharu dibuka di Segamat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tah Kang, Balai Raya Kampung Awat, Balai Raya Taman Bukit Lentang, Balai Raya Kampung Jabi 1, Balai Raya Jalan Pemuda, Balai Raya Tungku Tiga, Balai Raya Kampung Sekijang, Sekolah Agama Mukim Jabi dan Sekolah Agama Gemereh.

“Di Tangkak pula, PPS yang dibuka ialah Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan 17 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Vidyananthan turut memaklumkan, tiga sungai telah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dengan paras air direkodkan pada 9.64 meter (m), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat (20.95m), dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur (4.32m), setakat jam 3.15 petang tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 507 (134 keluarga), setakat jam 4 petang tadi, berbanding 382 (100 keluarga) pada jam 12 tengah hari.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, dalam satu kenyataan berkata semua mangsa kini ditempatkan di lapan PPS.

PPS terbabit ialah PPS Balai Raya Gadek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Surau Kampung Jeram, SMK Lubok China, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, SK Alor Gajah 1 dan SK Krubong.

Di Negeri Sembilan, data melalui aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir di 11 PPS, meningkat kepada 1,437 (353 keluarga), setakat jam 4 petang tadi.

Di Terengganu, situasi banjir semakin baik petang tadi dengan penurunan jumlah mangsa kepada 165 (49 keluarga) berbanding 451 (128 keluarga) pada tengah hari.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, berkata jumlah PPS masih kekal di empat lokasi, iaitu tiga di Dungun dan satu di Kemaman.

“Jumlah mangsa di Dungun berkurangan kepada 155 (47 keluarga), iaitu di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor (68 orang, 20 keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda (18 orang, lima keluarga).

“Di Kemaman, jumlah mangsa ditempatkan di Surau Kampung Ban Ho berkurang kepada 10 (dua keluarga), petang tadi. Bagaimanapun, penduduk dinasihatkan terus berwaspada dengan perubahan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah,” katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, stesen bacaan tiga sungai di tiga daerah masih melepasi paras amaran, iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu; dan Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir menurun sedikit, petang tadi, kepada 2,026 orang berbanding 2,161 pada tengah hari tadi.

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 40 PPS di daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Rompin, Bera, Pekan dan Maran, manakala PPS di Kuantan sudah ditutup hari ini.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air empat sungai telah melepasi tahap bahaya, iaitu Sungai Dong di Kampung Peruas di Raub, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran), dan Sungai Kechau di Kampung Dusun (Lipis).

Selain itu, aras air di beberapa stesen telah melebihi paras amaran, antaranya di Jerantut membabitkan Kuala Tahan, Paya Gintong, Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Tembeling di Kuala Tahan, selain Kuala Medang dan Sungai Lipis di Benta, Lipis.

Turut melepasi paras amaran ialah Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (Kuantan), dan Sungai Lipis di Batu Malim (Raub).

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir menurun setakat jam 5 petang tadi, membabitkan 331 orang (115 keluarga) berbanding 482 (154 keluarga) pada tengah hari tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, lima PPS dibuka membabitkan dua jajahan, iaitu empat di Kuala Krai dan satu di Jeli.

Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, setakat petang tadi.

Hanya empat sungai merekodkan bacaan paras amaran, iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas; Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Sabah, lapan kampung di Kota Marudu disahkan terjejas, manakala mangsa banjir kekal 504 (167 keluarga), setakat petang tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kampung yang terjejas ialah Kampung Asin-Asin, Kampung Beliajung, Kampung Tingkalanon, Kampung Tongkungon. Kampung Taritipan, Kampung Morion, Kampung Tandek dan Kampung Popok Laut.

Menurut sekretariat itu, seramai 253 mangsa (97 keluarga) ditempatkan di PPS SMK Tandek, manakala 251 (70 keluarga) di PPS SK Teritipan.

“Pasukan pemantau masih membuat pemantauan di kampung yang dinaiki air. Tinjauan mendapati keadaan paras air mulai surut dan masih dalam kawalan,” katanya.

Di Selangor, polis memaklumkan setakat jam 4.30 petang tadi, laluan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan Genting Peras–Kuala Klawang masih ditutup bagi laluan kenderaan berikutan dinaiki air, manakala jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: