Berita | Serba Dinamik sah syarikat bermasalah kewangan
KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Bhd hari ini mengumumkan syarikat itu adalah penerbit tersenarai yang terkesan di bawah Nota Amalan (PN17) mengikut keperluan penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia sudah mencetuskan kriteria menurut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(d) Nota Amalan 17 keperluan penyenaraian, apabila juruaudit luarnya, Messrs. Nexia SSY PLT, sudah menyatakan laporan tanpa memberikan pandangan dalam penyata kewangan diaudit syarikat itu bagi tahun kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021 yang diumumkan hari ini.
“Justeru, pada tarikh ini, Serba Dinamik dianggap sebagai syarikat PN17,” katanya.
Serba Dinamik berkata, syarikat sedang mengambil langkah diperlukan untuk menangani status PN17 itu.null
“Syarikat sedang merangka satu pelan untuk menyusun kedudukan kewangannya dan pengumuman sama akan dibuat mengikut keperluan penyenaraian,” katanya.
Syarikat itu terlepas tarikh akhir untuk mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.
Pada 25 November lalu, Serba Dinamik memberitahu bursa susulan perubahan juruaudit luar dan kesan sekatan pergerakan di Malaysia serta luar negara akibat pandemik COVID-19, audit penyata kewangan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun (AFS 2021) terjejas.
Katanya, AFS 2021 tidak dapat dimuktamadkan dalam masa yang ditetapkan untuk dirangkumkan dalam laporan tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 bagi diterbitkan pada 30 November melalui suratnya bertarikh 25 Oktober (permohonan lanjutan masa pertama).
Bursa Malaysia menolak permohonan syarikat dan rayuan untuk menangguhkan penyerahan laporan tahun kewangan 2021 daripada tarikh akhir awal yang sepatutnya iaitu 30 November 2021.
Akhir tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah didakwa oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana memberikan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia.
Abdul Karim, di atas kapasitinya sebagai pengarah kumpulan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di bawah Seksyen 369(a)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Tuduhan itu membabitkan kenyataan palsu yang terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat bagi suku kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Pengawal selia pasaran modal itu turut mengenakan pertuduhan terhadap Serba Dinamik, pengarah dan pegawainya kerana pengemukaan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia, satu kesalahan di bawah seksyen 369(a)(B) CMSA.
Mengikut pertuduhan SC yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, kenyataan palsu itu adalah berhubung angka pendapatan sebanyak RM6.104 bilion yang terkandung dalam Laporan Suku Tahun Keputusan Kewangan yang Digabungkan bagi Suku Tahun dan Tahun berakhir 31 Disember 2020.
SC berkata, individu yang dikenakan pertuduhan ialah Pengarah Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi serta Muhammad Hafiz.
Saham Serba Dinamik masih lagi digantung dengan dagangan terakhir pada 35 sen. – Berita Harian
kredit foto: TheStar