Berita | Benarkan peruncit dapatkan permit import ayam, kata Mydin
PETALING JAYA: Ketua sebuah rangkaian pasar raya besar tempatan menggesa kerajaan supaya mengamalkan ketelusan dalam pemberian permit yang diluluskan (AP) bagi mengimport ayam seekor.
Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, syarikatnya telah memohon AP untuk mengimport ayam seekor tetapi masih belum mendapat maklum balas.
Ameer, yang juga Naib Presiden Persatuan Peruncit Malaysia, berkata peruncit lain juga memaklumkan kepadanya bahawa mereka tidak mendapat sebarang AP walaupun kerajaan mengumumkan bahawa ia akan membenarkan lebih banyak import.
Seorang pegawai pasar raya besar lain yang enggan dinamakan berkata, permohonan syarikatnya untuk mendapatkan AP turut ditolak.
“Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan. Sudah sebulan. Kami telah penuhi semua syarat,” kata Ameer kepada FMT.
“Kami tidak tahu siapa yang dapat AP untuk import ayam seekor. Jika peruncit boleh dapatkan AP, kami boleh bawa masuk ayam secara langsung dan jual pada harga lebih rendah berbanding perlu melalui pihak ketiga,” kata Ameer.
“Apabila bercakap tentang keperluan asas, bukan hanya pengimportan ayam seekor yang memerlukan AP. Terdapat juga AP untuk mengimport bahagian ayam dan kubis.”
Pada 4 Dis, Putrajaya mengumumkan ia akan membenarkan syarikat-syarikat mengimport ayam seekor sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ayam sebulan sehingga Februari untuk menangani kekurangan bekalan.
Kemudian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, pihak yang mahu mengimport ayam sejuk beku perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mempunyai kemudahan penyimpanan sejuk.
Tambahnya, pengimportan hanya akan dibenarkan dari negara dan rumah sembelih yang diluluskan kerajaan.
Ameer berkata, jika kerajaan mahu menurunkan harga barangan, ia harus memansuhkan AP atau sekurang-kurangnya memberikannya kepada lebih banyak peruncit.
Bawah skim kawalan harga kerajaan, harga runcit ayam ditetapkan pada RM9.10 sekilogram. Skim itu, yang dikatakan penternak ayam menyebabkan kerugian besar, akan ditamatkan pada 4 Feb.
FMT telah menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mendapatkan komen. – FMT
Oleh: Robin Augustin