Berita | Saintis lapor penemuan strain baharu COVID-19, Deltacron
NICOSIA: Profesor Sains Biologi dan Ketua Makmal Bioteknologi dan Virologi Molekul Universiti Cyprus, Leondios Kostrikis, melaporkan satu strain COVID-19 yang menggabungkan varian Delta dan Omicron ditemukan di Cyprus.
Bloomberg melaporkan, Kotsriki berkata demikian dalam temu bual dengan Stigma TV Friday.
“Pada masa ini terdapat jangkitan bersama Omicron dan Delta dan kami mendapati strain ini adalah gabungan kedua-duanya
“Penemuan itu dinamakan ‘Deltacron’ kerana pengenalpastian tanda genetik seperti Omicron dalam genom Delta,”katanya.
Kostrikis dan pasukannya mengenal pasti 25 kes sedemikian dan analisis statistik menunjukkan bahawa kekerapan relatif jangkitan gabungan adalah lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19, berbanding pesakit yang tidak dirawat di hospital.
Jujukan 25 kes Deltacron sudah dihantar ke Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID), pangkalan data antarabangsa yang menjejaki perubahan dalam virus, pada 7 Januari.
“Kita akan lihat pada masa hadapan jika strain itu lebih patologi, menular atau jika ia akan mengatasi Delta dan Omicron,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, strain itu akan digantikan oleh varian Omicron yang sangat menular. – AGENSI