Berita | Rayuan Azmin batal saman 10 pengundi didengar April ini

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 13 April untuk mendengar rayuan Azmin Ali bagi membatalkan saman yang difailkan oleh sepuluh pengundi di kawasan Parlimennya, iaitu Gombak atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.

Salah seorang peguam yang mewakili pengundi, N Yohendra berkata, tarikh itu ditetapkan susulan pengurusan kes yang dibuat di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Nur Adilah Halid pada Isnin.

“Kami turut diarahkan untuk memfailkan hujah secara bertulis selewat-lewatnya pada 29 Mac,” kata Yohendra.

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diwakili peguam, Nurul Najwa Zainuddin.

Pada 27 Nov 2020, pengundi memfailkan saman terhadap Azmin kerana didakwa menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen mereka susulan “Langkah Sheraton” melibatkannya yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi memohon antara lain, pengisytiharan bahawa Azmin telah melanggar tanggungjawab fidusiarinya sebagai Ahli Parlimen Gombak, menipu mereka semasa pilihan raya di kawasan itu dan juga melanggar representasi yang dibuat kepada mereka.

Pada 12 Mac tahun lalu, Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada 10 Jun tahun lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan sepuluh pengundi itu terhadapnya.

Beliau juga menetapkan perbicaraan empat hari mulai 7 Jun tahun ini untuk mendengar kes itu.

Dalam memorandum rayuannya Azmin berkata, Akhtar terkhilaf dalam keputusannya dan saman itu terbatal kerana plaintif tidak dapat membuktikan mereka mengundinya sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum (PRU14) lalu.

Azmin berhujah bahawa Akhtar gagal memahami fakta ini kerana kertas undi – bukti utama – telah dimusnahkan mengikut undang-undang pilihan raya untuk menjaga kerahsiaannya.

Azmin berkata, hakim juga terkhilaf dalam menyatakan bahawa keterangan lisan boleh dipertimbangkan daripada sepuluh plaintif yang mendakwa mereka mengundinya.

Beliau berkata, pertikaian antara beliau dan pengundi tiada kaitan dengan salah nyata tetapi adalah mengenai manifesto pilihan raya. – FMT

kredit foto: TheVibes

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: