Berita | Jemaah Menteri perlu perjelas pendirian berhubung keputusan SC mengenai Azam, kata Kit Siang

PETALING JAYA: Jemaah Menteri perlu menjelaskan pendiriannya mengenai ketidakupayaan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menentukan sama ada Azam Baki melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Jemaah Menteri juga perlu meminta Azam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bercuti sehingga persoalan sama ada beliau melanggar undang-undang dapat dijawab oleh agensi penyiasat lain.

Lim berkata, ini termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi bawah Jabatan Perdana Menteri, yang dijadualkan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan isu itu.

Mesyuarat itu ditangguhkan kerana menurut Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, terdapat isu yang perlu dirujuk kepada penasihat undang-undang Parlimen.

“Hanya seorang yang dungu sahaja yang akan melihat kenyataan SC sebagai melepaskan Azam daripada sebarang kesalahan undang-undang dan merupakan satu pengisytiharan Azam tidak bersalah,” kata Lim.

“Sekiranya Kabinet tidak berbuat apa-apa, perkara ini bermakna Kabinet bersetuju dengan pemikiran yang mengatakan kenyataan SC telah membebaskan Azam sebagai tidak bersalah.

“Rakyat Malaysia berhak untuk menganggap Jemaah Menteri sedia ada ini terdiri daripada menteri-menteri dengan standard intelek yang rendah dan juga merupakan Jemaah Menteri terburuk dalam sejarah negara.”

SC semalam berkata, siasatannya ke atas Azam telah selesai, dan berdasarkan keterangan yang diperoleh, ia tidak dapat “memastikan secara konklusif” sama ada beliau telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Seksyen 25(4) SICDA memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

Azam didakwa membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam.

Beliau menafikan sebarang salah laku, dengan menyatakan adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham dalam syarikat senaraian awam. – FMT

kredit foto: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: