Berita | Status PN17 bukan penghalang AirAsia berkembang, kata Tony

Status AirAsia yang diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) tidak menjadi penghalang untuk terus meraih modal bagi membiayai operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Fernandes.

Beliau berkata, setakat ini, syarikat penerbangan tambang murah itu berjaya meraih dana sebanyak RM2.5 bilion, menunjukkan status PN17 tidak memberikan sebarang kesan kepada kumpulan tersebut.

Malah, Fernandes berkata, syarikat itu sebenarnya memenuhi kriteria PN17 sejak dua tahun lalu, namun masih berupaya meraih dana sebanyak RM2.5 bilion dalam tempoh tersebut.

“Kami juga sedang meraih modal tambahan sebanyak RM1 bilion,” katanya menerusi sidang media secara hibrid hari ini.

Pada sidang media itu, Fernandes turut mengumumkan AirAsia kini menukar nama kepada Capital A.

Pada Oktober tahun lalu, AirAsia mengumumkan menerima kelulusan 80% jaminan pinjaman sebanyak RM500 juta dari Danajamin Nasional Bhd (Danajamin), sebuah badan penjamin kewangan di bawah Bank Pembangunan Malaysia yang dimiliki kementerian kewangan.

Bagaimanapun, pinjaman kepada syarikat itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati industri penerbangan memandangkan syarikat tersebut terus berdepan kerugian sejak negara dilanda Covid-19 pada awal 2020.

Pada 13 Januari, AirAsia diklasifikasikan sebagai PN17 apabila Bursa Malaysia menolak rayuannya untuk melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan yang berakhir pada 7 Januari 2022.

Namun begitu, Fernandes berkata, status PN17 hanyalah yang terus menarik perhatian ramai itu sebenarnya hanya isu berkaitan perakaunan syarikat dan penyelesaiannya tidak ada kaitan dengan pencairan aset.

“PN17 disebabkan pajakan yang mana kami tidak pernah bayar, justeru ia tidak sepatutnya direkodkan dalam untung dan rugi.

“Ia berkaitan perakaunan dan penstrukturan, yang menyebut tentang penggabungan defisit berjumlah RM5 bilion.

“Jika anda keluarkan dua faktor ini, sudah tentu kami tidak diklasifikasikan sebagai PN17,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi pertumbuhan syarikat ketika berdepan tekanan kewangan, Fernandes optimis dan yakin mampu mengatasi masalah itu.

“Kami terus berkembang walaupun tanpa duit, dan saya juga ingat ketika saya mulakan syarikat ini bersama (Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia) Kamarudin (Meranun), waktu itu kami tiada duit.

“Kami mulakan syarikat penerbangan ini dengan RM500,000 dan itu sahaja duit yang kami ada,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, visi syarikat itu untuk 10 tahun akan datang adalah mentransformasi perniagaan penerbangannya kepada sebuah jenama yang bakal menawarkan perkhidmatan gaya hidup, kewangan dan pengembaraan. – MalaysiaNow

oleh: Azzman Abdul Jamal

kredit foto: TheStar

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: