Berita | Berita baik buat pekebun kecil, harga getah dijangka
KUALA LUMPUR, 4 FEB: Harga getah SMR 20 dan lateks boleh meningkat tiga hingga lima peratus daripada paras semasa, kata peserta industri yang juga bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low.
Beliau berkata, harga semasa getah lebih cenderung ke arah aliran meningkat berbanding aliran menurun berikutan situasi bekalan terhad yang dicetuskan perubahan cuaca.
“Kami menjangkakan harga akan kekal di sekitar paras semasa dengan kecenderungan tinggi untuk meningkat jika permintaan menjadi lebih kukuh memandangkan banyak negara ingin memulakan program pemulihan ekonominya”.
Berkaitan dengan perubahan cuaca, sebelum ini Menteri KPPK, Zuraida Kamaruddin telah mencadangkan penggunaan kaedah inokulasi atau penyuntikan pada batang pokok getah bagi membolehkan aktiviti menoreh dapat diteruskan walaupun pada musim tengkujuh.
“Kaedah tersebut sedang dalam tempoh percubaan dibeberapa kawasan ladang getah dan ia dijangka diperkenalkan kepada pekebun kecil dalam tempoh setahun lagi”. – PPI
Oleh: Muhd Salleh Norfadhil