Berita | Jangkitan Covid-19 melonjak kepada 7,234 kes
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan kes baharu Covid-19 melonjak kepada 7,234 dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi Twitter memaklumkan jumlah keseluruhan jangkitan kini meningkat kepada 2,895,014 kes.
Kali terakhir jangkitan melepasi angka 7,000 adalah pada 16 Okt tahun lalu dengan 7,509 kes.
Katanya, seramai 5,254 pesakit sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini 2,799,60.
Sementara itu,118 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU), dengan 81 daripadanya sah positif Covid-19 manakala 37 disyaki dijangkiti.
Daripada jumlah pesakit di ICU, 57 memerlukan bantuan pernafasan, dengan 34 sah positif Covid-19 manakala 23 dalam siasatan.
Sebanyak 7,000 jangkitan tempatan direkodkan hari ini melibatkan 6,754 rakyat Malaysia dan 346 warga asing, manakala 234 kes import merangkumi 92 rakyat Malaysia dan 142 warga asing.
Noor Hisham berkata, daripada jangkitan baharu itu, hanya 1.0 % termasuk dalam Kategori 3, 4 dan 5 ketika didiagnosis.
Kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara ini (R0) adalah 1.11 dengan Perlis menunjukkan angka tertinggi, iaitu 1.25 disusuli Johor (1.20),Pulau Pinang (1.17), Kedah (1.16),Sabah (1.16),Putrajaya (1.15),Melaka (1.14),Selangor (1.13),Perak (1.09),Negeri Sembilan (1.08), Pahang (1.07), Kuala Lumpur (1.05), semantara Kelantan, Terengganu dan Sarawak masing-masing (1.04).
Katanya, sebanyak 21 kluster baharu dilaporkan hari ini. – Free Malaysia Today
kredit foto: TheGuardian