Berita | Rakyat mohon PM tepati janji tidak laksana PKP

SHAH ALAM – Orang ramai mengharapkan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepati janji dengan tidak melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri sepertimana dimaklumkan sebelum ini.

Ia berikutan kes harian Covid-19 terus melonjak kepada 11,034 pada Isnin, berbanding 10,089 pada Ahad, sekali gus mencatatkan kes harian tertinggi dilaporkan sejak PKP dilonggarkan bermula Oktober tahun lalu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjangkakan kes jangkitan Covid-19 akan mencecah 15,000 dalam waktu terdekat.

Justeru, seorang pelajar, Nur Farah Irnani Hairol Azha, 20, mengharapkan agar kerajaan tidak lagi memberikan harapan palsu, malah menepati janji untuk tidak melaksanakan PKP Raya kepada Keluarga Malaysia kerana masing-masing sudah penat beraya di perantauan.

“Hampir dua tahun tak dapat pulang ke kampung. Saya rindu nak beraya bersama datuk dan nenek di Pahang.
“Kasihan mereka sunyi kerana anak cucu tidak dapat pulang ke kampung.
“Jadi, saya harap kerajaan memegang janji untuk tidak melaksanakan PKP Raya tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Seorang lagi pelajar, Nur Dini Dayana Fadzlee, 22, berkata, kerajaan wajar mengekalkan kebenaran untuk merentas negeri berikutan sudah ramai yang mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan wabak tersebut.

“Jadi diharap kerajaan membenarkan rakyat pulang ke kampung menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri sekiranya kes masih lagi tinggi. Walaupun ada yang dijangkiti Covid-19, namun bilangan kematian dapat dikurangkan kerana adanya vaksin sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Turut senada, pekerja swasta, Nik Nabilah Nik Aziman, 29, yang mana dia mengharapkan supaya kerajaan terus melonggarkan sekatan perjalanan, terutama sewaktu musim perayaan Aidilfitri nanti.

Nik Nabilah berkata, meskipun kes mencatatkan angka yang tinggi, namun hampir 99 peratus individu yang dijangkiti adalah kategori satu dan dua, berbanding individu daripada kategori tiga hingga lima.

“Justeru, PKP secara menyeluruh memang bukan lagi pendekatan yang kita boleh gunakan sekarang kerana ia menjejaskan pelbagai aspek, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan sosial masyarakat.

“Begitu juga dengan sekatan pergerakan lain, termasuk halangan untuk pulang beraya,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani, Mohd Khairol Hamdan Zalani, 31, berkata, orang ramai diminta supaya mengambil dos penggalak bagi mengurangkan keseriusan gejala.
Katanya, pengambilan dos penggalak juga amat penting bagi memastikan tiada penularan jangkitan berlaku sewaktu perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Setelah dua tahun beraya dalam suasana PKP, saya berharap tahun ini kita semua dapat bersama-sama keluarga meraikan hari kemenangan, bukan sahaja untuk menyambut hari raya, malah bebasnya kita daripada pandemik,” katanya. – Sinar Harian

Oleh: Raja Nur Faznie Aida

kredit foto: Gempak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: