Berita | Produk minyak sawit lestari Malaysia dijual di Dubai

DUBAI: Produk berasaskan minyak sawit Malaysia akan mula dijual di Lulu Hypermarkets, Dubai selama tiga bulan bermula hari ini susulan kerjasama yang dimeterai di antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan Lulu International Group.

MPOC dan konglomerat multinasional India yang mengoperasikan 224 kedai runcit di 22 negara itu, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semasa pembukaan Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia pada Ekspo 2020 Dubai.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama berkenaan, MPOC telah memperkenalkan kempen pengguna global yang dikenali sebagai Kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh dengan Kebaikan, yang dilancarkan di Lulu Hypermarket di Silicon Oasis, hari ini.

“Kempen promosi itu adalah lanjutan daripada aktiviti kami untuk mempromosikan dan menyuntik kesedaran mengenai kelestarian minyak kelapa sawit Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

“Kami gembira untuk bekerjasama dengan Lulu International Group, yang merupakan rantaian runcit utama di Asia dan Timur Tengah bagi mempromosikan minyak kelapa sawit Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid.

Kempen itu akan mempromosikan produk minyak sawit oleh pengeluar Malaysia, yang mana Lulu Hypermarket akan terus mengambil produk berkaitan daripada pengeluar Malaysia yang mengambil bahagian untuk dipromosikan di cawangan Lulu terpilih.

Katanya lagi, MPOC bersama-sama dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) sedang menerajui program perdagangan dan perniagaan Malaysia selama seminggu melalui minggu berkenaan mulai 7 hingga 12 Februari, yang mana program ini bertujuan menyoroti komoditi Malaysia seperti minyak sawit, lada dan koko.

“MPOC sedang mempamerkan inisiatif dan pengurusan kelestarian industri minyak sawit Malaysia. Kedua-dua aspek ini adalah penting dalam memastikan minyak kelapa sawit kekal sebagai sangga utama ekonomi negara termasuk sumber makanan yang diterima secara global.

“Inisiatif ini merangkumi skim pensijilan mandatori, garis panduan pengawalseliaan, amalan pertanian yang baik serta pembangunan teknologi termaju oleh sektor huluan, pertengahan dan hiliran industri.

“Konsep ‘Komoditi Tani Lestari’ selanjutnya akan menyediakan platform yang kukuh bagi Malaysia dalam memperluaskan pasaran global untuk eksport minyak sawit.

“Sektor ini menyumbang dengan ketara dalam menyediakan pendapatan berterusan menerusi eksport komoditi mentah dan produk tambah nilai,” katanya.

Pada 2021, eksport minyak sawit memberikan AS$24.6 (RM102.3) bilion kepada Malaysia.

Eksport minyak sawit Malaysia pada 2021 dicatatkan pada 15.56 juta tan, manakala pengeluaran sebanyak 18.14 juta tan.

Ini juga menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dunia dan 31 peratus daripada eksport.

Minyak sawit dan produk minyak sawit yang dieksport ke Timur Tengah berjumlah 2.4 juta tan atau bernilai AS$1.7 bilion.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengambil 10 peratus daripada jumlah produk minyak sawit dan kelapa sawit yang dieksport ke rantau berkenaan, bernilai AS$192 juta.

Eksport minyak kelapa sawit dan produk minyak sawit ke Timur Tengah pada tahun lalu dianggarkan kira-kira AS$2.5 bilion.

Ia banyak digunakan dalam sektor penggorengan perindustrian, marjerin dan pembuatan Vanaspati termasuk ramuan untuk produk kedai roti serta konfeksi.

Penyertaan keseluruhan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia sebagai agensi pelaksana. – Bernama

kredit foto: PASPI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: