Berita | Perjelas ikrar bantuan Hadi kepada Taliban, kata bekas duta kerajaan

PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri harus memberi penjelasan berhubung ikrar Abdul Hadi Awang yang ingin menyediakan bantuan kemanusiaan dan ekonomi kepada kerajaan Afghanistan yang ditadbir oleh Taliban, kata seorang bekas duta.

Dennis Ignatius berkata, berdasarkan amalan sebelum ini, keputusan Jemaah Menteri tidak diperlukan apabila kerajaan membuat sumbangan seperti itu, walaupun ia memerlukan kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya rasa Wisma Putra patut mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan situasi berkenaan.

“Duta khas tidak mempunyai kuasa untuk membuat sumbangan seperti itu tanpa merujuk Pejabat Perdana Menteri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa Malaysia berjanji untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dan ekonomi kepada Afghanistan termasuk membantu membina semula negara itu.

Jurucakap kerajaan itu, Suhail Shaheen baru-baru ini berkata, jaminan bantuan terbabit diberikan oleh Hadi, Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah di Qatar.

Ikrar Hadi itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pembangkang apabila pemimpin Amanah mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang terbabit mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Namun, Ignatius berkata pengiktirafan terhadap rejim Taliban perlu dipisahkan daripada keperluan menyediakan bantuan kemanusiaan segera untuk rakyat Afghanistan.

Katanya, Malaysia mesti melakukan apa saja yang boleh untuk membantu negara itu, yang menurut agensi bantuan antarabangsa, sedang menghadapi krisis bencana.

“Jadi saya memuji keputusan memberikan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Ignatius, yang berpengalaman selama 36 tahun dalam perkhidmatan luar negeri menyatakan harapan agar Putrajaya bersama kerajaan lain dalam menegaskan supaya rejim Taliban menghormati hak asasi manusia rakyatnya.

Katanya, rejim itu tidak boleh kembali kepada “cara terbelakang, kejam dan kuno masa lalu”. – FMT

oleh: Sean Augustin

credit photo: Facebook Abdul Hadi Awang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: