Berita | Larangan import: Syarikat Malaysia tunjuk perkembangan positif – CBP

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mendapati adanya perkembangan menggalakkan dalam kalangan pengeluar Malaysia berikutan pengeluaran Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) ke atas beberapa syarikat tempatan kerana dakwaan buruh paksa.

Dalam sidang media maya bersama media Malaysia malam Khamis, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Eksekutif Pejabat Perdagangan di CBP, John P Leonard berkata agensi itu akan mengubah suai WRO jika syarikat menyelesaikan isu mereka.

Beliau berkata sebagai contoh, pemansuhan larangan import ke atas dua syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn Bhd dan Top Glove Corporation Bhd masing-masing pada Mac 2020 dan September 2021.

“Kedua-dua syarikat itu (WRP Asia Pacific dan Top Glove) menambah baik keadaan pekerja mereka, memberi gaji, mengurus isu ikatan hutang, dan kami mengubah suai WRO.

“Kini mereka benar-benar bebas untuk menjual produk ke AS, yang sudah tentu merupakan pasaran yang sangat kritikal untuk syarikat-syarikat ini. Jadi itulah proses yang kami mahukan,” katanya sambil menambah kedua-dua syarikat mempunyai penglibatan yang konsisten dan berterusan dengan agensi itu.

Beberapa syarikat Malaysia – khususnya dalam industri sarung tangan getah dan minyak sawit – telah diselidiki berhubung dakwaan buruh paksa sejak dua tahun lepas dan telah dilarang daripada menjual produk mereka ke AS.

Syarikat ini termasuk YTY Industry Holdings Sdn Bhd; Brightway Group; Smart Glove; anak-anak syarikat Supermax Corporation Bhd (Maxter Glove Manufacturing Sdn Bhd, Maxwell Glove Manufacturing Bhd, dan Supermax Glove Manufacturing); Sime Darby Plantation Bhd; dan FGV Holdings Bhd.

Leonard berkata CBP telah bekerjasama dengan kerajaan dan industri Malaysia berhubung dakwaan buruh paksa dalam beberapa bulan lepas dan akan meningkatkan perbincangan untuk menangani isu itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pada Khamis berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan AS dan United Kingdom (UK) bagi menangani pemerdagangan manusia, terutamanya untuk buruh paksa, dan akan bertemu dengan Perwakilan Diplomatik AS dan UK untuk berbincang secara lebih terperinci dan lanjut.

Leonard turut memuji inisiatif Malaysia untuk menghapuskan penggunaan buruh paksa melalui kerangka Pelan Tindakan Nasional Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 dan keputusan untuk meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Mengenai keperluan yang diperlukan untuk CBP menarik balik larangan import, Pengarah Eksekutif Pemulihan Perdagangan dan Penguatkuasaan Undang-undangnya, Eric Choy berkata pengubahsuaian dilakukan selepas menyemak bukti bahawa syarikat-syarikat telah menangani semua penunjuk buruh paksa yang dikenal pasti di kemudahan mereka berdasarkan rangka kerja ILO.

“Katakan bahawa sekatan dokumen pengenalan diri adalah petunjuk yang ditemui, bermakna pasport atau dokumen peribadi pekerja dipegang untuk mengehadkan kebebasan bergerak, syarikat perlu menunjukkan bahawa mereka telah memperbaikinya.

“Disebabkan sekatan perjalanan dalam beberapa tahun ini, untuk mengesahkan itu, terdapat audit pihak ketiga bebas yang terlibat dan dapat mengesahkan bahawa langkah pemulihan telah dibuat. Begitulah secara umumnya cara kami mendekati pemulihan kepada WRO,” jelasnya.

Choy berkata juruaudit bebas biasanya dilantik dalam kalangan mereka yang mahir dalam bidang hak asasi manusia. – Bernama

kredit foto: BenarNews

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: