Berita | ‘Penarikan balik tentera Russia adalah tanda positif’

MOSCOW: Pemimpin Barat melihat tanda positif ke arah Russia meredakan ketegangan berhubung isu Ukraine, selepas Moscow mengumumkan penarikan balik sebilangan tentera yang ditempatkan berhampiran sempadan negara jirannya itu.

Dalam pengumuman pertama berhubung penarikan balik sebahagian daripada lebih 100,000 askar Russia terbabit, Kementerian Pertahanan Moscow memaklumkan bahawa sebilangan tentera dan peralatan berkaitan sedang pulang ke pangkalan selepas tamat latihan ketenteraan yang dirancang.

Sebelum ini, pemimpin Barat mendakwa penempatan tentera berkenaan menunjukkan kemungkinan Russia akan mencerobohi Ukraine yang pro-Barat, sekali gus memberi amaran Moscow bakal berdepan sekatan ekonomi yang teruk jika serangan itu berlaku.

Namun selepas mengadakan mesyuarat dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz di Moscow, semalam, Presiden Vladimir Putin berkata, Russia ‘sudah tentu’ tidak mahu berperang dan bersedia untuk mencari jalan penyelesaian bersama Barat.

“Kami bersedia untuk bekerjasama lebih lanjut. Kami bersedia untuk berunding,” kata Putin pada sidang media bersama Scholz, sekali gus mengesahkan ‘penarikan balik sebahagian tentera.’

Susulan itu, pemimpin Jerman dan Barat menzahirkan harapan agar langkah yang diambil menuju ke arah meredakan ketegangan dalam krisis berkenaan.

“Apabila mendengar sebilangan tentera itu ditarik balik, ia adalah tanda baik.

“Bagi Eropah, adalah jelas bahawa keselamatan yang berkekalan tidak boleh dicapai dengan menentang Russia, sebaliknya dengan hanya bersama Russia,” kata Scholz.

Dalam perbualan kemudian melalui panggilan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken pula, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menekankan keperluan untuk meneruskan ‘usaha bersama’ serta menggesa ke arah ‘dialog pragmatik’, menurut kementeriannya.

Moscow mengeluarkan beberapa butiran mengenai penarikan balik tentera terbabit, namun belum ada pengesahan daripada pihak luar, setakat ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg dilaporkan berkata di Brussels bahawa belum ada ‘sebarang tanda redanya ketegangan di lapangan’, namun terdapat ‘asas untuk optimisme yang berjaga-jaga.’

Jurucakap Kerajaan Perancis pula menyifatkan ia sebagai ‘tanda positif’ jika penempatan tentera Russia berkenaan ditarik balik, manakala Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, berkata ‘setiap langkah sebenar untuk meredakan ketegangan, akan memberi harapan.’

Pada pagi semalam, Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan penarikan balik sebahagian tentera, dengan memaklumkan beberapa pasukan yang ditempatkan berhampiran Ukraine sudah tamat menjalani latihan dan sedang membuat persiapan untuk pulang.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, memberitahu pemberita bahawa penarikan balik pasukan itu adalah ‘proses biasa’ selepas latihan ketenteraan selesai, justeru menyalahkan pihak Barat atas krisis yang tercetus. – AFP

kredit foto: Emerging Europe

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: