Berita | Serangan di Ukraine memperbaharui kebimbangan serangan Russia

MOSCOW: Serangan di Ukraine semalam memperbaharui kebimbangan Barat yang menjangkakan Russia akan menyerang negara itu pada bila-bila masa.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata Moscow sedang menyediakan alasan untuk mewajarkan kemungkinan serangan dan pada masa sama, Kremlin mengusir seorang diplomat AS.

Pertempuran awal pagi antara tentera Kyiv dan pemisah pro-Russia, yang berperang sejak bertahun-tahun dengan mengingkari arahan gencatan senjata secara berkala, kini semakin membimbangkan negara Barat.

Krisis sangat meruncing dalam hubungan pasca Perang Dingin sedang berlaku di Eropah kerana Russia mahukan jaminan keselamatan, termasuk Kyiv tidak akan menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Russia juga menuntut AS dan rakan sekutu menawarkan kesediaan kawalan senjata serta langkah lain bagi membina keyakinan.

Pada masa sama, Russia menuduh Barat sengaja mencetuskan ‘histeria’ kerana angkatan tenteranya sudah mula kembali ke pangkalan dan mereka tidak mempunyai rancangan untuk menyerang.

Negara Barat dan Biden bertegas bahawa pendudukan ketenteraan berterusan hanya mengundang risiko kemungkinan berlaku serangan.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai mereka kini dalam operasi ‘bendera palsu’ untuk mencari alasan bagi melancarkan serangan.

“Setiap petunjuk yang kami ada menunjukkan mereka bersedia untuk pergi ke Ukraine dan menyerang Ukraine,” kata Biden kepada pemberita di Rumah Putih.

Beliau mengarahkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menukar rancangan perjalanannya pada saat akhir untuk bercakap pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai senario di Russia.

“Ia boleh jadi pengeboman pengganas yang didalangi Russia, penemuan ‘kubur’ pembunuhan beramai-ramai, serangan dron menyasarkan orang awam atau serangan palsu, malah mungkin menggunakan senjata kimia.

“Russia mungkin menggambarkan peristiwa ini sebagai pembersihan etnik, atau pembunuhan beramai-ramai,” kata Blinken

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Vershinin, berkata komen Blinken amat dikesali dan berbahaya.

Memburukkan lagi keadaan hubungan antara dua kuasa dunia itu, Russia mengusir diplomat AS, yang juga Timbalan Ketua Misi di negara itu, Bart Gorman.

Langkah itu diumumkan semalam, namun seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS menyatakan Gorman sudah diusir minggu lalu.

Moscow menyatakan pengusiran pegawai kanannya di Washington dibuat walaupun penggantinya belum dinamakan, adalah sebahagian daripada ‘perang visa’ AS.

Washington berkata ia akan bertindak balas terhadap langkah ‘tanpa provokasi’ itu.

“Diplomat Russia yang sudah berada lebih daripada tiga tahun mesti meninggalkan AS manakala Moscow tidak menetapkan tempoh masa kepada diplomat AS,” kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Di Ukraine, pemberontak yang disokong Russia dan tentera Kyiv mula menuduh satu sama lain dan melepaskan tembakan merentasi kawasan gencatan senjata di timur Ukraine, di mana mana Moscow menuduh Kyiv ‘menghapuskan’ orang awam.

Tentera kerajaan Ukraine menafikan tuduhan melancarkan serangan menyasarkan kedudukan pemisah di wilayah pemisah Donbass, yang bersempadan dengan Russia. – REUTERS

kredit foto: TheGuardian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: